GIRONA, 16 SEPT – Bintang muda, Lamine Yamal meledak dua gol bagi membantu pendahulu La Liga, Barcelona membenam Girona 4-1, awal pagi kelmarin.
Dalam aksi berasingan, Atletico Madrid meraih kemenangan 3-0 ke atas Valencia untuk berkongsi mata di tangga kedua bersama Real Madrid.
Barca yang dikendali Hansi Flick kini sudah merekodkan lima kemenangan dalam lima perlawanan awal kempen kali ini sekali gus mengubati kekecewaan dalam dua pertemuan menentang Girona musim lalu di Montilivi.
Dua jaringan Yamal pada babak pertama meletakkan Barcelona di laluan cukup selesa untuk meraih kemenangan sebelum Dani Olmo dan Pedri Gonzalez menambah derita pasukan lawan pada babak kedua.
Cristhian Stuani berjaya mengurangkan defisit jaringan buat tuan rumah, yang pada musim lalu menamatkan kempen saingan di kedudukan ketiga.
Girona kehilangan beberapa tonggak utama pada musim panas lalu dengan pengendali kelab, Michel Sanchez terpaksa membina semula pasukan.
Barcelona memperoleh momentum baharu di bawah bekas pengendali Bayern Munich dan Jerman, Flick yang setakat ini dilihat berjaya mempamerkan prestasi terbaik mereka.
“Saya fikir kamu boleh melihat keyakinan yang kami miliki dan apabila kami memperoleh bola, kami mempunyai kualiti untuk bermain dan mencipta peluang,” kata Flick. – AFP