Thursday, July 17, 2025
26.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yamal sarung jersi nombor 10 Barcelona

    BARCELONA, 17 JULAI – Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal mewarisi jersi nombor 10 yang sebelum ini dipakai oleh pemain hebat sepanjang zaman, Lionel Messi.

    “Messi telah mengharungi jalannya sendiri dan saya akan lalui jalan saya sendiri,” kata Yamal kepada pemberita pada satu acara di kedai kelab di stadium Spotify Camp Nou kelmarin.

    “Saya akan bekerja sekeras mungkin, memberikan segala-galanya dan cuba menggembirakan peminat Barca di sini dan mereka yang berada di rumah.”

    Pemain sayap berusia 18 tahun itu sering dibandingkan dengan pemain bintang Argentina yang juga datang melalui akademi remaja La Masia kelab itu dan telah membantu pasukan gergasi Catalan memenangi treble domestik musim lalu.

    Dia menandatangani kontrak baharu dengan Barcelona sehingga 2031 Mei lalu menjadi antara pemain dengan gaji termahal di kelab itu.

    “Saya berharap dapat lebih kejayaan daripada tahun lepas dan jadikan impian saya kenyataan,” sambung Yamal yang mahu memenangi Liga Juara-Juara bersama pasukan gergasi Catalan itu, dan juga Piala Dunia bersama Sepanyol.

    Yamal telah menjaringkan 25 gol untuk kelab itu dalam lebih 100 penampilan sejak penampilan pertamanya pada 2023 pada usia 15 tahun dengan memakai jersi nombor 41.

    “Barca adalah hidup saya. Saya telah berada di sini sejak umur tujuh tahun. Semua kanak-kanak dari La Masia mempunyai impian untuk berjaya ke pasukan utama dan saya berjaya mencapainya perlu terus bekerja,” kata Yamal.

    “Semasa saya kecil saya bermimpi untuk berada di Barca dan mempunyai nombor ini.”

    Nama bintang lain termasuk Diego Maradona, Ronaldinho dan Rivaldo pernah memakai jersi nombor 10 Barcelona pada masa lalu.

    “Messi, Maradona, Ronaldinho adalah tiga lagenda bola sepak, dan tiga lagenda kelab ini,” kata Yamal.

    “Saya bersyukur dengan apa yang mereka berikan kepada kelab dan saya akan cuba meneruskan legasi ini.” – AFP 

    Lamine Yamal bergambar sambil memegang jersi baharunya di kedai stadium Camp Nou di Barcelona kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda