Saturday, April 19, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yan, Buhai kongsi pendahulu Kejohanan LA

    LOS ANGELES, 18 APRIL – Liu Yan dari China dan Ashleigh Buhai dari Afrika Selatan masing-masing mencatat sembilan bawah par 63 untuk berkongsi kedudukan pendahulu selepas pusingan pertama Kejohanan LA di El Caballero Country Club, kelmarin.

    Liu, yang masih memburu kemenangan pertama dalam Jelajah LPGA sejak menyertai pada 2018, bangkit selepas permulaan goyah dengan satu bogey di lubang pertama.

    Namun, dia segera menemui rentak, mencatat tiga birdie dalam empat lubang berikutnya dan satu eagle di lubang ke-16, sebelum mengakhiri pusingan dengan tiga birdie berturut-turut – menjadikannya skor terbaiknya dalam LPGA setakat ini.

    Buhai pula tampil konsisten dengan pusingan bebas bogey, dimulakan dengan birdie di lubang ke-10 dan memanfaatkan kedudukan pin yang strategik. “Sebarang pusingan tanpa bogey pastinya hari yang baik,” kata juara Terbuka British 2022 itu.

    Frida Kinhult dari Sweden turut tidak melakukan sebarang bogey dan menamatkan pusingan dengan tiga birdie berturut-turut, hanya satu pukulan di belakang pendahulu.

    Lima pemain lain berkongsi tempat ketiga dengan tujuh bawah par, termasuk trio Korea Selatan Jenny Shin, Chun In-gee dan Lee Jeong-eun, serta Miranda Wang (China) dan Madelene Sagstrom (Sweden). Sagstrom mencatat sejarah peribadi apabila melakukan hole-in-one pertamanya dalam LPGA di lubang kesembilan.

    Pemain Amerika, Nelly Korda – Pemain Terbaik LPGA 2024 dengan tujuh kemenangan – kini di kedudukan ke-15, hanya empat pukulan di belakang, walaupun melakukan tiga bogey akibat kesilapan tiga putt. Dia menebus semula prestasi dengan empat birdie berturut-turut pada sembilan lubang terakhir. – AFP

    Aksi Liu Yan melakukan pukulan dari tee ke-17 semasa pusingan pertama Kejohanan LA di El Caballero Country Club di Tarzana, California, pada 17 April. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda