Tuesday, May 13, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yana kongsi tip rumah tangga harmoni

    Rumah tangga yang bahagia dan harmoni ibarat syurga dunia. Kedamaian dan kasih sayang adalah teras utama dalam hubungan suami isteri. Pelakon, Yana Samsudin berkongsi tip keharmonian rumah tangga yang diamalkan.

    Keharmonian rumah tangga dapat dinikmati dalam suasana sakinah apabila pasangan suami isteri berlaku adil dan saling menunaikan hak dan kewajipan selaras dengan tuntutan agama dan kesepakatan bersama.

    Baru-baru ini sempena perkahwinan adik bongsunya, melalui hantaran di laman Facebook dan Instagram, Yana berkongsi tip rumah tangga sebagai pesanan daripada seorang kakak kepada adiknya. Jelas Yana, suami isteri perlu menggunakan diplomasi dan demokrasi dalam melayari rumah tangga dengan sebaiknya.

    Berikut merupakan resipi membina rumah tangga yang harmoni seperti yang dikongsikan oleh Yana Samsudin. Moga tip rumah tangga bahagia yang dikongsikan oleh Yana ini dapat kita jadikan panduan bersama.

    Yang pertama, sentiasa solat berjemaah. Selepas solat, kongsilah bersama-sama. Jangan malu. Kalau suami segan jadi imam, belajar sama sama sempurnakan hari demi hari.

    Yana Samsudin berkongsi tips untuk mengekalkan keharmonian rumah tangga. – Agensi

    Cantumkan doa kalian supaya sehaluan matlamat dan apa yang diminta pada Allah tentang hal dunia dan akhirat.

    Kedua, jika mahukan persetujuan mesti ada syura/mesyuarat. Digalakkan setiap malam seperti pillow talk atau paling kurang seminggu sekali. Bincangkan soal hati ke hati, ekonomi, perjalanan esok hari atau hal-hal anak-anak dan apa sahaja topik yang terlintas untuk dibincangkan.

    Ketiga, mesti tahu tanggungjawab suami dan isteri antaranya hal nafkah atau hal-hal lain yang menjadi tanggungjawab masing-masing.

    Keempat, jangan merajuk lama-lama. Jangan biar lama-lama dan segera peluk pasangan jika merajuk. Cuba bertanya mengapa terasa hati. Kuncinya jangan malas bertanya. Bagi pihak yang merajuk, berterus-terang sahaja dengan pasangan. Jangan simpan dalam hati.

    Fikiran dan perasaan sendiri pun kadang-kadang keliru apa lagi hendak memahami orang lain dalam masa yang singkat. Kalau betul ada kekhilafan, ambil kisah luahan itu dan perbetulkan kesilapan.

    Kelima, sentiasa peka perubahan pasangan masing-masing supaya saling mengenali. Bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, ambil masa untuk mengenali diri masing-masing.

    Keenam, sentiasa tanamkan sifat hendak membantu pasangan. Masing-masing mesti ada perasaan ini. Jangan sebelah pihak sahaja. Berebutlah hendak hulurkan bantuan antara satu sama lain. Nampak suami tercari-cari sesuatu, tanya dan bantu cari. Kalau isteri hendak angkat barang, suami ternampak, cepat-cepatlah bantu angkat barang tersebut tanpa perlu diminta.

    Ketujuh, berlaku adil pada tempat dan keadaan yang sepatutnya. Sama rata mesti diaplikasikan. Bagi pihak isteri, jika perlukan perhatian, bercakaplah. Jangan hanya dengar di sebelah pihak sahaja. Apabila kita bermesyuarat sudah tentu kita inginkan keputusan yang adil dan dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

    Kelapan, masing-masing jangan terlalu mengongkong. Suami hendak tengok telefon pun tidak boleh, keluar pun langsung tidak diberi. Isteri hendak ada me time atau tidur siang sekejap pun tidak boleh, hendak kentut depan pasangan pun tidak boleh. Memang susah kalau semuanya tidak boleh. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda