Dalam diam pelakon Yana Samsudin rupanya sedang melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dalam jurusan Pengurusan Korporat di Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Yana atau Nurliana Samsudin, 40, berkata, kehidupan yang agak stabil ketika ini membuatkan dia tergerak hati untuk melanjutkan pelajaran.
Katanya, tindakan itu juga sebagai satu inspirasi kepada anak-anak mereka tentang kesusahan untuk mendapatkan kehidupan yang selesa.
“Sebenarnya saya bosan tak buat apa-apa jadi saya sambunglah belajar tapi saya buat ini untuk anak-anak saya sebagai satu inspirasi kepada mereka.
“Sebab zaman saya bersengkang mata tak tidur malam mereka tak lahir lagi. Bila saya sudah ada perniagaan dan kehidupan lebih stabil saya tak nak mereka rasa mudah cari duit dengan hanya buka telefon.
“Walaupun usia sudah ‘banyak’, saya masih nak dapatkan kedudukan yang tinggi,” katanya kepada mStar.
Berkongsi mengenai pengajiannya, Yana memberitahu dia mula menjalani pembelajaran jarak jauh (PJJ) selama setahun dan sepatutnya menerima ijazahnya pada November depan.
Bagaimanapun, tempoh pengajiannya terpaksa dilanjutkan susulan mengambil cuti bersalin anak ketiganya pada Januari lalu.
Tidak hanya itu, Yana juga memberitahu dia terpaksa berehat lebih panjang selepas disahkan menghidap praeklampsia iaitu sejenis penyakit tekanan darah tinggi yang biasa menyerang ibu mengandung.
“Sepatutnya saya graduasi bulan November ini tapi saya ada tiga lagi silibus yang belum diselesaikan kerana bercuti selama satu semester untuk melahirkan anak ketiga.
“Saya cuma sempat menyelesaikan beberapa tugasan tapi insya-Allah saya akan graduasi tahun depan,” katanya. – Agensi