Pelakon Yana Samsudin terkejut apabila nama suaminya iaitu Fadzil Zahari dipetik oleh warga maya gara-gara berita penahanan seorang selebriti berhubung isu dadah pada Disember lalu.
Menurut Yana atau Nurliana Samsudin, 40, ketika kecoh mengenai berita berkenaan, dia dan suami sedang berada di Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah.
“Saya anggap tuduhan ini sebagai satu dugaan untuk kami sekeluarga yang sedang menunaikan ibadah umrah.
“Bagi saya, apabila kita sedang melakukan satu kebaikan, Allah beri satu dugaan dan ingin melihat bagaimana kami tangani ujian itu.
“Nak dijadikan cerita memang waktu itu kebetulan mata suami saya memang merah sebab alergik dengan cuaca sejuk pada waktu itu,” katanya kepada mStar.
Yana berkongsi perkara itu ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Sahak Gangster yang diadakan di GSC Tropicana Mall semalam.
Pada pertengahan Disember tahun lalu, Yana dan suami berpeluang mengerjakan ibadah umrah selepas menerima jemputan daripada kedutaan Arab Saudi.
Dalam pada itu, Yana memberitahu dia menerima banyak panggilan telefon dan mula menyedari hal itu selepas membaca kiriman mesej daripada kenalan sejurus tiba di hotel penginapan.
“Saya sekeluarga dijemput oleh kedutaan Arab Saudi untuk mengerjakan ibadah umrah dan ziarah beberapa tempat menarik.
“Ketika kami tiba di Mekah pada jam 3 pagi dan sedang mengerjakan umrah, telefon bimbit kami tak berhenti berbunyi.
“Apabila sampai saja di hotel, suami baru sempat baca mesej dan maklumkan sudah ramai pihak membuat spekulasi mengenai dirinya berhubung penangkapan itu,” ujarnya. – Agensi