Monday, December 23, 2024
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yang Di-Pertua MMN adakan kunjungan hormat, mesyuarat

    VIENTIANE, LAOS, 22 OKT – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib telah mengadakan kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala secara berasingan bersama Speaker Parlimen Singapura, Tuan Yang Terutama Seah Kian Peng; Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, TYT Tan Sri Dato’ (Dr) Johari bin Abdul dan Presiden Dewan Rakyat Thailand, TYT Wan Muhamad Noor Matha semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-45 di Vientiane, Laos.

    Menurut kenyataan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat, kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkukuh hubungan diplomatik dan parlimen serta membincangkan isu-isu yang menjadi kepentingan bersama di peringkat serantau.

    Semasa pertemuan bersama TYT Tan Sri Dato’ (Dr) Johari, Yang Berhormat Pehin menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikannya sebagai Presiden AIPA dan Negara Malaysia selaku Tuan Rumah Perhimpunan Agung AIPA bagi tahun 2025.

    Yang Berhormat Pehin menyatakan kesediaan Negara Brunei Darussalam untuk memberikan sokongan penuh dan menyentuh kerjasama pembangunan generasi muda melalui inisiatif seperti Program Parlimen Belia dan Program Pertukaran Pelajar.

    Kedua-dua pihak juga membincangkan pertukaran amalan terbaik dalam penambahbaikan parlimen.

    Kunjungan hormat bersama Speaker Parlimen Singapura dan Presiden Dewan Rakyat Thailand turut membincangkan usaha untuk memperkukuhkan kesa-linghubungan serantau dan kolaborasi antara parlimen negara-negara ASEAN.

    Perbincangan juga menekankan kepentingan untuk terus mempererat hubungan diplomatik, dengan fokus kepada pembangunan mampan, kerjasama ekonomi, dan inisiatif sosial yang dapat membawa manfaat kepada rakyat di rantau ini.

    Kunjungan hormat dan mesyuarat dua hala ini menggambarkan komitmen bersama dalam memperkukuh hubungan diplomatik serta mempertingkatkan peranan parlimen dalam menangani cabaran serantau melalui dialog dan kerjasama erat antara negara-negara ASEAN.

    Yang Di-Pertua MMN semasa mengadakan perjumpaan bersama Speaker Parlimen Singapura. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman semasa mengadakan mesyuarat bersama Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    Mesyuarat bersama Presiden Dewan Rakyat Thailand telah membincangkan usaha untuk memperkukuh kesalinghubungan serantau dan kolaborasi antara parlimen negara-negara ASEAN. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda