Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yang Di-Pertua MMN adakan kunjungan hormat, perjumpaan

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, telah mengadakan kunjungan hormat bersama speaker parlimen dari dua negara sahabat secara berasingan dan perjumpaan serta lawatan ke Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) di Gedung Nusantara, Kompleks Parlimen, Jakarta, Republik Indonesia, kelmarin.

    Kunjungan hormat itu merupakan antara program dalam rangka lawatan Yang Berhormat Pehin ke Jakarta, Republik Indonesia bagi menghadiri sidang bersama di antara Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) dan Dewan Perwakilan Daerah Republik Indonesia (DPD RI).

    Semasa kunjungan hormat bersama Ketua Dewan Perwakilan Rakyat, Republik Indonesia, Dr (H.C.) Puan Maharani, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman mengesahkan semula hubungan rapat yang telah terjalin sejak sekian lama di antara kedua-dua buah negara selain berharap hubungan dua hala akan terus diperkukuh melalui kerjasama dalam pelbagai bidang.

    Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan atas jemputan yang dihulurkan bagi menghadiri sidang bersama di antara DPR RI dan DPD RI serta ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ke-80.

    Semasa berada di Jakarta, Yang Berhormat Pehin juga berkesempatan mengadakan perjumpaan dan lawatan ke Sekretariat AIPA, yang disambut oleh Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman di Sekretariat AIPA, Jakarta, Republik Indonesia.

    Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Dewan Perwakilan Rakyat, Republik Indonesia di Gedung Nusantara, Kompleks Parlimen, Jakarta. – GAMBAR SERAHAN DEWAN PERWAKILAN RAKYAT REPUBLIK INDONESIA
    Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN bergambar ramai semasa perjumpaan dan lawatan ke Sekretariat AIPA. – GAMBAR SERAHAN DEWAN PERWAKILAN RAKYAT REPUBLIK INDONESIA
    GAMBAR SERAHAN DEWAN PERWAKILAN RAKYAT REPUBLIK INDONESIA
    GAMBAR SERAHAN DEWAN PERWAKILAN RAKYAT REPUBLIK INDONESIA
    GAMBAR SERAHAN DEWAN PERWAKILAN RAKYAT REPUBLIK INDONESIA
    GAMBAR SERAHAN DEWAN PERWAKILAN RAKYAT REPUBLIK INDONESIA
    GAMBAR SERAHAN DEWAN PERWAKILAN RAKYAT REPUBLIK INDONESIA

    Semasa perjumpaan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman telah mendengarkan perkembangan-perkembangan AIPA serta persediaan-persediaan yang berkaitan bagi Perhimpunan Agung AIPA ke-46 yang akan diadakan pada bulan September nanti.

    Sementara itu, Yang Berhormat Pehin juga telah mengadakan kunjungan hormat bersama Speaker Parlimen Singapura, Seah Kian Peng, baru-baru ini di sebuah hotel di Jakarta, Republik Indonesia.

    Semasa kunjungan hormat itu, kedua-dua pihak mengesahkan semula hubungan rapat dan istimewa yang telah terjalin sejak sekian lama dan berharap hubungan dua hala akan terus diperkukuh, terutama sekali di antara kedua buah badan perundangan menerusi kerjasama dan perkongsian pengalaman dalam bidang-bidang yang menjadi kepentingan bersama.

    Turut hadir semasa kedua-dua kunjungan hormat berkenaan, Jurutulis MMN, Datin Paduka Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah dan Duta Besar Istimewa dan Mutlak Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Abdul Razak bin Haji Abdul Kadir.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda