Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yang Di-Pertua MMN terima 2 kunjungan hormat

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai- Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini telah menerima dua kunjungan hormat secara berasingan di Bangunan Dewan Majlis hari ini.

    Kunjungan hormat pertama adalah daripada Naib Presiden dan Pengerusi Shell Negara bagi Brunei Darussalam, Henry Bristol.

    Atas & Bawah: YB Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman semasa menerima kunjungan Henry Bristol.

    Semasa kunjungan tersebut, kedua-dua pihak menyentuh mengenai hubungan strategik dan kerjasama berterusan antara Shell dan Negara Brunei Darussalam dalam menyokong pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam sektor tenaga.

    Selain itu, kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan penyediaan peluang pekerjaan kepada generasi muda, pemanfaatan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), serta usaha Negara Brunei Darussalam ke arah kepelbagaian ekonomi, selaras dengan matlamat pembangunan negara dan Wawasan Brunei 2035.

    Kemudian, Yang Di-Pertua MMN turut menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kemboja ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chey Ratha.

    Semua di atas: YB Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman semasa menerima kunjungan TYT Chey Ratha. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT.

    Dalam pertemuan tersebut, perbincangan tertumpu kepada hubungan erat antara Negara Brunei Darussalam dan Kemboja, termasuk bidang kerjasama antara legislatif kedua-dua negara.

    Kedua-dua pihak turut membincangkan isu-isu yang menjadi keprihatinan bersama serta peluang bagi meneroka kerjasama dalam meningkatkan kesalinghubungan, hubungan antara rakyat, eko-pelancongan dan perdagangan produk halal.

    Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut adalah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis Majlis Mesyuarat Negara, Datin Paduka Dr Dayang Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Awang Haji Hurairah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda