Tuesday, October 8, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yang Di-Pertua MMN terima kunjungan hormat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Eve Lubin, hari ini.

    Pertemuan tersebut membincangkan isu-isu semasa termasuk lawatan dari Parlimen Republik Perancis pada tahun yang lalu yang berhasrat bagi mengukuhkan hubungan antara kedua-dua dewan perundangan.

    Di samping itu, perbincangan juga menyentuh inisiatif menubuhkan kumpulan persahabatan serta peranan penting Republik Perancis sebagai rakan dialog di Persidangan AIPA sebagai pertubuhan yang dianggotai oleh parlimen-parlimen ASEAN.

    Kedua-dua pihak juga berkongsi pandangan mengenai sistem perundangan masing-masing dan berharap dapat mempelajari antara satu sama lain melalui amalan terbaik serta lawatan pada masa hadapan.

    Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman menerima kunjungan PYT Eve Lubin. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda