BANDAR SERI BEGAWAN, 30 APRIL – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini telah menerima kunjungan hormat daripada ketua-ketua perwakilan asing ke Negara Brunei Darussalam dari British dan Iran pada majlis berasingan di Bangunan Dewan Majlis pagi tadi.
Semasa kunjungan hormat bersama Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Alexandra McKenzie, kedua-dua pihak menyentuh mengenai hubungan dua hala yang terjalin erat sejak sekian lamanya.
Perbincangan juga menyentuh aspek kerjasama dalam bidang-bidang sedia ada termasuk bidang pendidikan, pertahanan dan pertukaran lawatan serta keakraban hubungan di pelbagai peringkat, termasuk hubungan antara rakyat.
Selain itu, kedua-duanya turut bertukar-tukar pandangan mengenai kepentingan perkembangan teknologi komunikasi semasa sebagai pendekatan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan dan masyarakat dan perancangan untuk meneroka kerjasama antara parlimen.
Sementara itu, semasa kunjungan hormat bersama Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Islam Iran ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammad Taghi Rajabi, perbincangan menyentuh mengenai isu-isu semasa yang menjadi keprihatinan dan kepentingan bersama kedua-dua negara.
Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kepentingan penyelesaian aman terhadap isu-isu global serta menzahirkan harapan agar usaha berterusan melalui rundingan dan dialog dapat membawa kepada keamanan dan kestabilan yang berkekalan.
Kedua-dua pihak juga membincangkan perancangan untuk meneroka kerjasama antara parlimen.
Turut hadir semasa kedua-dua kunjungan hormat tersebut ialah Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah.