Sabtu, 22 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yang Di-Pertua MMN terima kunjungan hormat

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, kelmarin, telah menerima kunjungan hormat daripada Naib Presiden Dewan Rakyat Republik Sosialis Vietnam, Tuan Yang Terutama Nguyen Khac Dinh.

    Naib Presiden Dewan Rakyat Republik Sosialis Vietnam berserta rombongan terdiri daripada 15 orang delegasi dari Dewan Rakyat Republik Sosialis Vietnam.

    Rombongan turut disertai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu.

    Majlis yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis itu turut dihadiri oleh Jurutulis Majlis Mesyuarat Di-Raja, Setiausaha Majlis Mesyuarat Menteri-menteri Kabinet dan Jurutulis MMN, Dr Hajah Huraini binti Pehin Orang Kaya Setia Jaya Dato Paduka Haji Hurairah; berserta beberapa ahli MMN.

    Kunjungan tersebut merupakan tanda hubungan mesra dan persahabatan yang terjalin antara kedua-dua buah negara.

    Kedua-dua pihak telah membincangkan tindakan bersama dalam Pelan Tindakan untuk Pelaksanaan Perkongsian Komprehensif antara Brunei Darussalam dan Republik Sosialis Vietnam (2023-2027).

    Ia termasuk hubungan antara badan perundangan iaitu MMN Brunei Darussalam dan Dewan Rakyat Vietnam.

    Yang Berhormat Yang Di-Pertua MMN dan Naib Presiden Dewan Rakyat Republik Sosialis Vietnam juga membincangkan mengenai isu-isu semasa dan berharap agar kerjasama dapat diperkukuhkan lagi terutama bagi mempelajari antara satu sama lain untuk membangunkan negara dan rantau yang stabil dan makmur.

    Rombongan Tuan Yang Terutama berada di Negara Brunei Darussalam bagi lawatan rasmi yang diadakan bermula 9 Ogos hingga hari ini (11 Ogos).

    Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman menerima kunjungan hormat daripada TYT Nguyen Khac Dinh. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT
    Gambar ramai Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bersama rombongan dari Vietnam. – GAMBAR SERAHAN JABATAN MAJLIS-MAJLIS MESYUARAT

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda