BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib, hari ini, telah menerima kunjungan muhibah daripada Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Slovak ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Jaroslav Chlebo di Bangunan Dewan Majlis.
Turut hadir pada kunjungan tersebut ialah Timbalan Jurutulis MMN, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail serta beberapa orang pegawai kanan Jabatan Majlis-majlis Mesyuarat.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, majlis kunjungan muhibah tersebut merupakan perjumpaan rasmi yang pertama, menandakan hubungan baik antara kedua-dua belah pihak. Kedua-dua belah pihak berkesempatan mengongsikan hal-hal berkaitan dengan cara perundangan dan parlimen di kedua buah negara.
Pada kunjungan tersebut, TYT Jaroslav Chlebo mengongsikan mengenai era revolusi 4.0 dalam meningkatkan pembangunan kapasiti manusia yang mana dapat dijadikan contoh bagi penjanaan eknomi negara.
Selain itu, kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan dan membincangkan perkara yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk bekerjasama seperti memberikan bantuan dalam industri pelancongan dan dalam bidang lain bagi merapatkan lagi hubungan baik dan erat antara kedua-dua pihak.