BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Ogos – Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib hari ini telah menerima kunjungan perpisahan daripada Duta Besar Kuwait ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Dr Fahad Mashary Al-Thafiri, yang diadakan di Bangunan Dewan Majlis.
Turut hadir sama dalam kunjungan perpisahan tersebut, ialah Timbalan Jurutulis Majlis-Majlis Mesyuarat, Dayang Rose Aminah binti Haji Ismail, bersama beberapa orang pegawai dari Jabatan MMN.
Pada kunjungan perpisahan tersebut, Yang Berhormat Pehin Haji Abdul Rahman dan TYT Dr Fahad Mashary Al-Thafiri sama-sama melahirkan rasa penghargaan atas hubungan erat di antara kedua buah negara dan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerjasama yang baik sepanjang perkhidmatan Tuan Yang Terutama sebagai duta di Negara Brunei Darussalam.
Kedua-dua belah pihak berharap agar hubungan baik tersebut akan terus kekal dan semakin kukuh di antara buah negara.
