Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Persidangan Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Penangguhan Majlis Mesyuarat Negara itu diumumkan oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman sebelum mengumumkan penangguhan itu dalam ucapannya menjunjung kasih setinggi-tingginya ke hadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddien Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Daryssalam atas kurnia titah Baginda semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan ke-21 Majlis Mesyuarat Negara yang mana titah Baginda itu bijaksana, amat teliti dan progresif, khususnya dalam memajukan peranan Majlis Mesyuarat Negara dalam sistem pentadbiran negara.
Yang Berhormat Pehin menyatakan bahawa Musim Permesyuaratan Ke-21 MMN telah berlangsung selama lima hari pada sesi kedua dan secara keseluruhannya 19 hari pada 2025.
Sepajang tempoh Mesyuarat Kedua itu, tambahnya, Dewan membincangkan beberapa perkara utama empat perbahasan usul, 196 pertanyaan kepada menteri-menteri dan satu kenyataan menteri.
Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman seterusnya menekankan bahawa perbincangan kali ini membuktikan potensi MMN untuk memainkan peranan yang signifikan dalam membincangkan perkara-perkara substantif demi kepentingan rakyat dan negara.
Ahli-ahli Yang Berhormat telah terlibat dalam perbincangan yang lebih substantif dalam mana Ahli-ahli Yang Dilantik telah memainkan peranan dalam semak imbang yang aktif, mengemukakan cadangan-cadangan terhadap isu yang kurang mendapat perhatian, manakala Ahli Rasmi Kerana Jawatan memberikan penjelasan perancangan, perkembangan pelaksanaan serta mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh kementerian masing-masing.
Yang Berhormat Pehin juga menyatakan perbincangan tahun ini lebih mantap, walaupun terdapat perbezaan pendapat tetapi yang dikendalikan secara terbuka dan matang.
Beliau turut menyarankan bahawa setiap hujah dikemukakan di dewan perlu berlandaskan kepada fakta dan data yang sahih dan kredibel, supaya dapat memastikan perbahasan yang penuh profesionalisme dan adab sebagai pertukaran intelektual.
“Saya ingin menyarankan kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara bahawa setiap hujah yang dikemukakan di dewan yang mulia ini, perlu berlandaskan kepada fakta dan data yang sahih dan kredibel, bukannya andaian.”
“Ini kerana hanya dengan berhujah berdasarkan fakta, kita dapat memastikan sesi perbahasan dijalankan dengan penuh profesionalisme dan adab sebagai intellectual exchange.”
Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman menekankan kepentingan Ahli mendekati rakyat dan menyeru supaya usaha ini diperkasa dan dipertingkatkan melalui dialog, perbincangan serta program jangkauan yang berterusan.
Langkah ini penting bagi mendapatkan maklum balas langsung daripada rakyat, memastikan Dewan membincangkan perkara yang dekat di hati rakyat, serta memelihara kesatuan dan perpaduan demi keamanan, kestabilan dan kedamaian negara.
Mengambil iktibar kenyataan Menteri Kesihatan bahawa health is wealth, Yang Berhormat Pehin menyeru semua untuk membudayakan gaya hidup sihat secara menyeluruh, meliputi pemakanan seimbang, aktiviti fizikal yang konsisten dan penjagaan kesihatan mental.
Penekanan ini juga dikaitkan sebagai satu amanah yang juga merangkumi tanggungjawab kepada Allah SWT.
Mengikut Peruntukan 35 dari Peraturan-peraturan Mesyuarat bagi MMN, Yang Berhormat Pehin Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman mengumumkan bahawa persidangan ditangguhkan ke satu masa yang belum ditetapkan.


