SEOUL, 30 JULAI – Pasukan Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur, telah menandatangani pemain remaja Korea Selatan, Yang Min-hyuk, dan dia menjadi pemain Asia Timur terbaharu yang berpindah ke England pada 2024 ketika kelab itu mencari pelapis Son Heung-min.
Perjalanan karier yang cemerlang ditunjukkan oleh Son, kapten Tottenham dan pasukan kebangsaan Korea Selatan, sepanjang puluhan tahun yang lalu telah membantu membuka jalan kepada pemain seperti Yang.
Pada usia 18 tahun, pemain sayap, Yang, merupakan pemain Korea Selatan termuda yang menandatangani kontrak dengan kelab Inggeris peringkat teratas. Selepas menandatanganinya Ahad lalu, dia akan ke London pada Januari depan pada penghujung musim Gangwon FC berikutan kempen cemerlang dalam Liga K di mana dia setakat ini telah menjaringkan lapan gol dan mencatatkan empat assist.
“Saya berpindah ke luar negara jadi menyesuaikan diri adalah sangat penting,” kata Yang.
“Tetapi ada Sonny (Heung-min) yang akan membantu untuk proses penyesuaian saya kerana kami berdua warga Korea. Sonny ialah kapten pasukan kebangsaan kami dan saya akan katakan dia mempunyai pengaruh besar terhadap keputusan saya,” ujarnya lagi. – AP
