SHANGHAI – Mengambil suplemen, meminum teh herba dan mendaftar untuk kelas gaya hidup, belia China kini beralih kepada industri kesihatan kerana tekanan kerja dan kesan pandemik yang mendorong minat yang semakin meningkat terhadap kesihatan.
Tabiat baharu itu adalah sebahagian daripada ledakan kesihatan global, namun konsep tradisional yangsheng, yang bermaksud memupuk kekuatan hidup seseorang, dengan memberikan trend itu sentuhan budaya yang unik di China.
Di Shanghai, Annie Huang duduk di sebuah kedai seperti kafe yang menjual teh herba tradisional, sambil meneguk ramuan pahit yang dikatakan dapat melindungi tubuh daripada bahang musim panas.
“Golongan muda hari ini kerap melakukan aktiviti sepanjang malam… jadi mereka mahu minum sesuatu yang mereka rasa baik untuk badan mereka,” kata Huang, dalam lingkungan 30an, kepada AFP.
Berakar umbi dalam kepercayaan Taoisme dan perubatan tradisional Cina, antara kebaikan yangsheng termasuk tabiat seperti mengelakkan makanan yang dianggap boleh menyejukkan badan dan urutan khusus yang dipercayai dapat merawat pelbagai penyakit.
Dengan memanfaatkan trend itu, syarikat perubatan tradisional Cina yang dikendalikan kerajaan negeri seperti Beijing Tongrentang telah membuka kedai dengan hiasan bergaya yang menawarkan produk seperti ‘air berjaga malam’ dan latte beri goji bersama bahan-bahan tradisional yang dipercayai meningkatkan kesihatan seperti sarang burung dan ginseng.
Ribuan pempengaruh yangsheng telah memenuhi media sosial China dengan siaran yang menawarkan tip tentang ‘menghilangkan kelembapan badan’, cara memasukkan jus halia ke dalam makanan harian dan senaman jari yang dikatakan dapat meningkatkan peredaran darah.
Minat terhadap yangsheng bahkan telah menular ke dalam sektor pelancongan, bahkan belia berpusu-pusu ke kawasan padang pasir untuk berbaring di atas pasir dengan kepercayaan bahawa amalan itu menghilangkan kelembapan yang tidak sihat dari badan.
BERSEDIA MELABUR
Ekonomi kedua terbesar dunia sedang bergelut dengan pasaran penggunaan yang lemah disebabkan oleh krisis hartanah dan kadar pengangguran belia yang tinggi.
Namun, perbelanjaan untuk kesihatan dan kesejahteraan, terutamanya dalam kalangan generasi milenium dan Gen Z, terus menjadi tumpuan.
Pembelian produk kesihatan ‘pasti meningkat lebih berbanding kategori lain’ meskipun ramai belia mula berjimat, kata Jason Yu, pengarah urusan besar China di firma penyelidikan pengguna Kantar Worldpanel.
“Penggambilan suplemen adalah salah satu kategori yang mereka sangat utamakan dan sanggup berbelanja,” kata Yu kepada AFP.
Kegilaan terhadap kesihatan boleh dikategorikan dalam beberapa jenis termasuk perubatan terbukti hingga pseudoscience.
Syarikat pemula Cina menjual segala-galanya daripada pelbagai produk, dari gula-gula vitamin hingga serbuk probiotik, bersaing untuk mendapatkan perhatian dengan jenama import yang lebih dipercayai secara tradisinya.
KEBIMBANGAN KESIHATAN
Trend itu berkait rapat dengan kebimbangan meluas tentang kesan negatif budaya kerja moden yang mempunyai tekanan tinggi terhadap kesihatan.
Laporan mengenai belia yang mati akibat kerja berlebihan telah mendorong pengguna untuk membeli ‘pek pencegahan kematian mengejut’, gabungan makanan tambahan yang bertujuan untuk mengatasi kesan buruk daripada pengambilan makanan harian dan waktu kerja yang panjang.
“Awda fikir awda hanya bekerja, tetapi sebenarnya awda mengurangkan jangka hayat awda,” kata salah satu hantaran oleh seorang pempengaruh pekerja yangsheng dalam siaran di platform Xiaohongshu.
Wanita muda yang bergelut dengan kerjaya yang mencabar serta tekanan untuk mempunyai anak kini beralih mengikuti kelas yang mengajar mereka cara mengoptimumkan kesihatan reproduktif mereka.
Di sebuah sekolah malam di Shanghai, pengamal perubatan tradisional Cina, Zhang Qinhai menunjukkan gambar rajah rahim dan ovari sambil memberi amaran kepada kelasnya yang dipenuhi ramai wanita muda tentang peluang yang semakin menurun untuk kelahiran yang sihat pada usia yang lebih matang.
“Orang ramai terlalu tertekan, jadi mereka berada dalam keadaan kesihatan yang lebih buruk,” kata seorang pelajar berusia 33 tahun kepada AFP.
Sementara itu, kebimbangan kesihatan yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19 masih berlarutan.
Orang ramai merasakan bahawa imuniti mereka telah menurun akibat COVID-19 dan ‘mereka lebih mudah mengalami selesema dan demam,” kata Tommy Qin, pemilik kafe teh herba.
Yu dari Kantar Worldpanel berkata dia percaya persepsi memainkan peranan besar dalam pengguna muda yang tergesa-gesa untuk melindungi kesihatan mereka.
“Kesedaran yang lebih tinggi mengenai pelbagai isu kesihatan, terutamanya dibantu oleh media sosial, sangat membantu (memacu penggunaan), kerana semua orang merasa mereka tidak cukup sihat.” – AFP