BEIJING, 1 NOV – Legenda NBA, Yao Ming telah meletak jawatan sebagai ketua Persatuan Bola Keranjang China (CBA) selepas tujuh tahun menyandang jawatan itu berikutan prestasi kurang memuaskan pasukan kebangsaan, katanya kelmarin.
Bola keranjang merupakan sukan yang sangat popular di China dan bekas pemain tengah Houston Rockets itu kekal sebagai bintang terkenal negara itu walaupun sudah bersara pada 2011.
Yao memberitahu agensi berita Xinhua bahawa dia berundur disebabkan prestasi dan keputusan pasukan kebangsaan tidak memenuhi jangkaan yang diharapkan.
Yao, 44, sebelum ini pernah mengkritik pasukan kebangsaan lelaki, menyifatkan mereka sebagai ‘pemalas’ dan menegaskan wujudnya ‘jurang besar’ antara mereka dengan pasukan terbaik dunia. Tahun lalu, dia juga berjanji akan ‘bertanggungjawab’ selepas pasukan itu gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024.
CBA mengesahkan peletakan jawatan Yao kelmarin, menyatakan bahawa keputusan itu dibuat setelah pertimbangan yang teliti dan berdasarkan pembangunan bola keranjang China serta perancangan peribadi.
Menurut Xinhua, Yao membuat keputusan untuk berundur dengan baki kira-kira dua tahun sebelum perkhidmatannya tamat, bagi memberi laluan kepada pihak persatuan satu kitaran Olimpik penuh untuk meningkatkan prestasi pasukan.
Dalam kenyataan CBA, Yao berkata, “Bola keranjang adalah kerjaya yang sentiasa saya cintai, tidak kira dahulu, kini atau masa depan.
“Saya berharap semua akan terus menyokong bola keranjang China bersama saya pada masa akan datang,” katanya.
CBA turut menyatakan bahawa pentadbiran sukan China menzahirkan penghargaan tulus kepada Yao atas sumbangannya.
“Yao Ming dipercayai telah melakukan banyak usaha yang signifikan dalam membina asas untuk mempopularkan bola keranjang… (dan) meningkatkan mutu pasukan kebangsaan China,” menurut kenyataan itu.
“Yao masih menjadi sebahagian daripada keluarga bola keranjang China dan kami percaya dia akan terus menyumbang kepada bola keranjang negara,” tambah kenyataan tersebut. – AFP