Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Okt – Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) hari ini mengadakan Hari Kesedaran Kanser Kanak-kanak buat kali kedua dan telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai.
Majlis yang berlangsung di Ruang Lobi Times Square itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti untuk di sertai oleh pengunjung yang antara lain bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai di mana kanak-kanak juga boleh menghidap kanser.
Ia juga bagi menyerlahkan lagi kesan dan impak menghidapi dan rawatan kanser terhadap kanak-kanak, golongan muda dan keluarga mereka.
Kanser kanak-kanak sering berlaku dan terdapat bermacam-macam jenis kanser yang dihadapi oleh kanak-kanak yang menyaksikan purata 10 hingga 15 kes baru dicatat setiap tahun di negara ini.
Dengan adanya kemajuan dalam penyelidikan dan rawatan, kadar ikhtiar hidup lima tahun untuk kebanyakan kanser pada kanak-kanak telah meningkat kurang dari 50 peratus hingga 80 peratus sejak beberapa dekat yang lalu.
Pada majlis itu, Lim Geok Lai iaitu ibu kepada seorang penghidap kanser mengongsikan pengalamannya.
Beliau mengakui terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk menerima kenyataan apabila doktor memaklumkan yang anak perempuannya, Siu Tzzy Wei, disahkan menghidap Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL), jenis kanser darah.
Katanya, beliau tidak cukup kuat apabila anaknya dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) disebabkan gula dalam darahnya melonjak hingga setinggi 40 + mmol.
Doktor berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan anak perempuannya itu dan beliau diberitahu supaya bersedia untuk menerima sebarang berita mengenainya.
“Saya terus optimis dan menyokong anak perempuan saya untuk rawatan perubatannya dan dalam masa yang sama juga berdoa kepada tuhan supaya memberi kemudahan kepadanya di samping menerima rawatan kemoterapi,” tambahnya.
Menerusi perkongsian tersebut diharap dapat meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai yang mana kanser juga boleh berlaku di kalangan kanak-kanak, kesan dan impak kanser kepada kehidupan kanak-kanak tersebut dan keluarga.
Hari Kesedaran Kanser Kanak-kanak di meriahkan dengan pameran mengenai kanser kanak-kanak yang sedikit sebanyak dapat memberi pengetahuan kepada pengunjung.