Thursday, July 17, 2025
29.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    YASKA terima sumbangan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 April – Sebanyak $3,000 telah berjaya dikumpulkan dalam acara Joss Stone Charity Gala Performance  yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Tinggi British dan Relentless Entertainment Group pada Februari lalu dan disumbangkan kepada Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA).

    Sumbangan berkenaan telah diserahkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay kepada Timbalan Pengerusi YASKA, Dayang Tsara’Nawwarah binti Abdullah Chen pada majlis yang berlangsung di Wad Onkologi, Pusat Perempuan dan Kanak-kanak, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), pagi tadi.

    Pada acara berkenaan, TYT Richard Lindsay turut dibawa melawat dan berpeluang menyaksikan sendiri Wad Onkologi, Pusat Perempuan dan Kanak-kanak serta mendengarkan sedikit sebanyak penerangan mengenai peranan YASKA dalam membantu dan menyokong ibu bapa serta ahli keluarga pesakit di sana.

    Dalam ucapannya, Tuan Yang Terutama menzahirkan rasa gembira dan berbesar hati apabila berpeluang mengadakan acara amal seumpamanya dalam usaha menambahkan dana YASKA bagi memberikan sumbangan balas kepada masyarakat di negara ini.

    Turut hadir pada acara berkenaan ialah pengasas Relentless Entertainment Brunei, Amy Cheong Sui Ying dan Awang Mardi Hedus serta Pakar Onkologi Pediatrik di Haspital RIPAS, Dr Hajah Norehan binti Haji Johari.

    TYT Richard Lindsay semasa menyerahkan replika cek sumbangan kepada Dayang Tsara’ Nawwarah.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda