Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) telah menerima sumbangan sebanyak $1,000 dari Kelab Wanita Antarabangsa Brunei Darussalam (IWCB), baru-baru ini.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Presiden IWCB, Ungku Datin Hajjah Fanzah binti Haji Osman dan Naib Presiden Kehormat, Hnin Hnin Ko yang juga isteri kepada Duta Besar Republik Myanmar ke Negara Brunei Darussalam kepada Naib Pengerusi YASKA, Tsara’ Nawwarah binti Abdullah Chen.
Dana itu dikumpulkan melalui pelbagai aktiviti kelab yang diadakan sepanjang tahun sebelum sekatan COVID-19 dan IWCB ingin mengucapkan terima kasih khas kepada ahli-ahlinya atas sokongan berterusan mereka terhadap aktiviti kelab dan sumbangan yang banyak.