Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yassin Senario tidur berdiri 8 hari di lokap Jeddah

    Pelawak Yassin Senario berkongsi pengalaman ngeri tidur berdiri selama lapan hari di sebuah lokap di Jeddah, Arab Saudi, selepas ditahan ketika mahu menunaikan umrah pada Oktober tahun lalu.

    Dedah Yassin atau nama sebenarnya Yassin Yahya, 47, keadaan lokap yang sesak memaksa dirinya berehat berdiri sebelum dibenarkan tidur di hadapan pintu tandas.

    “Keadaan di lokap agak menyedihkan. Kali pertama saya tidur berdiri sebab lantai penuh.

    “Saya akhirnya dapat juga tidur di depan pintu tandas. Nampak kaki orang langkah saya dalam masa lapan hari,” katanya menerusi satu audio siar.

    Tambah Yassin, selepas 10 hari ditahan di balai polis, dia dipindahkan ke Pusat Pentadbiran Dan Pengusiran Warga Negara Asing pada 5 November tahun lalu.

    Yassin berkongsi pengalaman ngeri tidur berdiri selama lapan hari di sebuah lokap di Jeddah, Arab Saudi. – mStar

    Katanya, ketika itu, hanya panggilan daripada pihak konsulat Malaysia menjadi penyambung harapan untuk terus bertahan.

    “Pihak konsulat pun sukar nak tembus. Alhamdulillah, mereka akhirnya dapat bercakap dengan saya.

    “Kali pertama saya dapat tinggalkan voice note kepada isteri. Atas bantuan pihak konsulat juga, saya diberikan bercakap dengan isteri, namun talian terputus-putus,” ujarnya kepada Kosmo.

    Tambah Yassin, dia dibicarakan secara dalam talian pada 19 November dan dijatuhkan hukuman enam bulan penjara atas kesalahan membawa barangan bercetak lambang larangan.

    “Saya melalui perbicaraan di mahkamah secara talian. Saya jelaskan kejadian berlaku, saya bukannya penyeludup, tetapi saya dijatuhkan hukuman selama enam bulan.

    “Saya akur kesalahan. Saya beritahu isteri, ini kesalahan saya bawa barang ada lambang larangan, mungkin saya terlepas pandang. Apapun, saya anggap ini musibah dan perjalanan hidup saya,” luahnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda