LONDON, 27 Dis – Pemain tengah antarabangsa Ivory Coast, Yaya Toure mengesahkan dia sedia untuk keluar daripada persaraan, kata ejen bintang Manchester City itu.
Dimitri Seluk berkata, tonggak berusia 34 tahun itu bersedia untuk mewakili negaranya kembali andai dipanggil.
Toure kali terakhir beraksi buat Ivory Coast pada September 2016 lalu.
“Yaya @YayaToure memutuskan untuk kembali ke pasukan kebangsaan Ivory Coast. Dia mahu memenangi trofi bersama skuad kebangsaannya selepas ini,” tweet Seluk.

Toure yang sudah merekodkan hampir 100 lebih caps adalah sebahagian daripada tonggak utama yang menjuarai Piala Afrika pada 2015 lalu.
Kelibatnya pada musim ini bersama City agak terbatas apabila hanya beraksi lapan perlawanan dalam semua pertandingan dan baharu saja melanjutkan kontraknya setahun lagi bersama kelab itu.
Bagaimanapun, disebabkan Ivory Coast gagal layak ke Piala Dunia tahun depan, Seluk membayangkan tugasan pertama Toure adalah saingan Piala Afrika yang akan berlangsung pada 2019 nanti. – AFP