Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yayang dinobat kucing terbaik

    Oleh Daniel Lim –

    BELAIT, 13 OGOS – Seekor kucing Siam yang diberi nama Yayang telah berjaya memenangi hati juri apabila dinobatkan sebagai Best of the Best dalam pertandingan kucing untuk baka tempatan dan campuran di Dewan Jabatan Bandaran Kuala Belait dan Seria, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyampaikan hadiah ialah isteri Pemangku Penolong Pegawai Daerah Belait, Dayang Nor’Aziah binti Jalani yang dialu-alukan oleh Pengurus Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) Negara Brunei Darussalam cawangan Daerah Belait, Hajah Halimah binti Abdul Latif.

    Pengerusi pertandingan, Hajah Julia binti Chee menjelaskan bahawa pertandingan berkenaan merupakan acara tahunan bagi kumpulan itu dalam memperingati Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-77.

    Sebanyak 24 ekor kucing telah dipertandingkan pelbagai kategori mengikut baka seperti baka parsi, siam, campuran dan biasa.

    Selain itu, kategori khusus juga diberikan kepada kucing luar biasa yang memenuhi kriteria seperti paling sihat, terbesar, bulu paling cantik, paling cantik, paling fotogenik, dan Best of the Best yang diidamkan.

    Yayang bersama pemiliknya menerima hadiah dan trofi kemenangan daripada tetamu kehormat. – Gambar oleh Daniel Lim
    Antara pengunjung yang hadir semasa pertandingan berkenaan. – Gambar oleh Daniel Lim
    Joker bersama pemiliknya ketika menerima hadiah dan trofi kemenangan. – Gambar oleh Daniel Lim
    Gambar oleh Daniel Lim
    Gambar oleh Daniel Lim
    Gambar oleh Daniel Lim

    Setiap kucing diadili oleh panel yang terdiri daripada ahli-ahli WI cawangan Daerah Belait.

    Hajah Julia berkata, kategori-kategori tersebut menonjolkan aspek terbaik kucing di samping memupuk penghargaan terhadap usaha dan penjagaan yang dilakukan oleh pemiliknya dalam menjaga kucing kesayangan mereka.

    Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah pencinta kucing kepada Awang Mohd Yunos bin Haji Pungut yang telah menyumbangkan masa dan tenaga untuk menjaga bukan sahaja kucingnya tetapi juga kucing terbiar di daerah ini.

    Pemenang bagi setiap kategori telah diumumkan, dengan Oggy menjadi pemenang tunggal dalam kategori Parsi, yang turut diraihnya dalam pertandingan tahun lepas.

    Sementara itu, Yayang menduduki tempat pertama dalam kategori Siam, diikuti Contaj-te dan Jojo masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

    Kucing baka campuran, Eva memenangi tempat pertama menewaskan Dee Dee dan Nokia di tempat kedua dan ketiga.

    Dalam kategori biasa, Joker di tempat pertama, diikuti oleh Mango di tempat kedua dan Tiger di tempat ketiga.

    Dalam kategori istimewa, Yayang turut menerima beberapa anugerah selain Best of the Best, termasuk anugerah paling sihat dan paling cantik.

    Memenangi anugerah untuk kucing terbesar ialah Joker, manakala anugerah bulu tercantik dimenangi oleh Eva. Akhir sekali, dan anugerah paling fotogenik dimenangi oleh Nokia.

    Pertandingan anjuran WI Cawangan Daerah Belait itu telah ditaja oleh Nimanja Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda