Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 SEPT – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, telah mengendalikan majlis Doa Kesyukuran dan sembahyang sunat hajat berjemaah khusus bagi para pelajar yang mengikuti kelas tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan yang akan menduduki peperiksaan pada akhir tahun ini.
Majlis berkenaan diadakan di keempat-empat daerah iaitu di Masjid Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kampung Bolkiah A bagi Daerah Brunei dan Muara di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan.
Di Daerah Tutong, majlis berlangsung di Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Sengkarai dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan.
Di Daerah Belait pula, majlis diadakan di Masjid Kampung Pandan dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Penasihat Undang-undang Kanan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman.
Manakala itu, hadir selaku tetamu kehormat bagi majlis di Daerah Temburong yang berlangsung di Masjid Utama Mohammad Salleh ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.
Majlis di Daerah Brunei dan Muara telah dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah dan bacaan Surah Yasin beramai-ramai diikuti dengan bacaan Saidul Istighfar, Surah Al-Fatihah dan Surah Al-Jumu’ah oleh pelajar-pelajar di bawah Projek Tahsin Al-Quran dan Amali Ugama, PIP Yayasan.
Seterusnya majlis diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada tiga buah sekolah yang digunakan sebagai Pusat Kelas Tuisyen PIP di daerah ini iaitu Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong dan Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun. Kelas tuisyen PIP Yayasan menumpukan pembelajaran mata pelajaran teras bagi memastikan para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan supaya mereka mendapat peluang terbaik dalam meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Selain itu, mata pelajaran Al-Quran dan amali agama juga diserapkan dalam program PIP ini yang dinamakan Projek Tahsin. Pada tahun ini, seramai 502 orang pelajar mengikuti projek kelas tuisyen PIP di lapan buah pusat di seluruh Negara.
