Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 MAC – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), hari ini, berkenan berangkat ke majlis bertahlil di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong.
Majlis berkenaan khusus bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit dan Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji ‘Abdul ‘Azim.
Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof selaku ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Majlis yang merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan Yayasan di bulan Ramadan itu telah dimulakan dengan bacaan Yasin dan tahlil yang diketuai oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.
Juga hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA), para pegawai dan kakitangan Yayasan, ahli-ahli Alumni Sultan’s Scholar Yayasan, pelajar Sekolah Menengah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, sukarelawan Yayasan dan penduduk Kampung Bolkiah A dan Kampung Bolkiah B.




