Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Tadbir Yayasan kali pertama bagi tahun 2024 di Bilik At-Taqwa, Dewan An-Naura, Kompleks Bangunan Yayasan di ibu negara, hari ini.
Pada mesyuarat itu, Duli Yang Teramat Mulia bersabda, Yayasan telah mencapai usia tiga dekad dan telah menempuh beberapa fasa peningkatan dan perkembangan ke arah meningkatkan dan merangsang pembangunan sosioekonomi dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini, selaras dengan dasar dan matlamat asal penubuhan.
Pada dekad keempat penubuhannya, Yayasan sedang giat melaksanakan Pelan Strategik Yayasan 2020-2025.
Apa yang dihasratkan, sabda Duli Yang Teramat Mulia, Yayasan akan terus proaktif, kreatif dan adaptif dalam merencanakan dan melaksanakan projek dan program baharu yang lebih memberikan impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat ke arah mencapai matlamat bagi memperkasa ‘masyarakat mandiri’.
Duli Yang Teramat Mulia dalam sabdanya ingin mendapatkan penerangan lanjut mengenai pencapaian, hasil dan perkembangan terkini tentang pelaksanaan pelan strategik berkenaan sesuai dengan sifatnya sebagai living document yang perlu sentiasa direbiu bagi memastikan ia tetap relevan dengan perkembangan dan keadaan semasa.


Selain itu, Duli Yang Teramat Mulia ingin mengetahui status perkembangan beberapa projek utama yang telah dibincangkan dalam mesyuarat terdahulu.
Duli Yang Teramat Mulia pada mesyuarat itu telah menyentuh mengenai Kompleks Yayasan yang pengurusannya dikendalikan di bawah Syarikat Wadah Amal Sdn Bhd.
Tegasnya, masih terdapat banyak ruang komersil yang kosong dan apakah usaha dan strategi pemasaran yang akan diambil dalam mengisikan ruang-ruang kosong tersebut.
Menyentuh mengenai Kampung Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia bersabda, kerja-kerja pembaikan rumah telah dapat dilaksanakan secara berperingkat mengikut keutamaan, dan selain itu apakah langkah yang telah dan akan dilaksanakan untuk membantu penduduk kampung berusaha ke arah menjana aktiviti perekonomian.
“Di samping meningkatkan sense of belonging dalam sama-sama menjaga keharmonian dan keselamatan kampung berkenaan,” sabdanya.
Selain itu, Duli Yang Teramat Mulia turut menyentuh mengenai Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (PPKKI-YSHHB).
Sabdanya, galeri berkenaan mendapat sambutan sangat menggalakkan dengan mencatatkan ramai pengunjung, dan ingin mengetahui apakah perancangan jangka sederhana dan panjang bagi meningkatkan penglibatan pusat berkenaan di arena serantau dan antarabangsa, khususnya melahirkan tenaga pusat yang berkemahiran dan berwibawa dalam bidang kesenian dan kaligrafi Islam.
Dalam pada itu, Duli Yang Teramat Mulia menyampaikan ucapan tahniah atas lantikan baharu ahli-ahli jemaah tadbir yang bermula pada 13 Mac 2023 dan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli yang tempoh lantikan telah berakhir, atas khidmat bakti dalam menyumbang buah fikiran dan idea yang bermanfaat dan berguna untuk kepentingan Yayasan.
Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke mesyuarat itu dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris selaku Timbalan Pengerusi I dan Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku Timbalan Pengerusi II.
Turut menjunjung ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof selaku ahli-ahli jemaah tadbir.
Hadir sama ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yusof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.

