Tuesday, January 21, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yayasan Food Street curah pengalaman berharga

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Sebagai salah satu inisiatif pengurusan Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) dalam menyediakan platform bagi membantu vendor tempatan memasarkan produk dan mengembangkan perniagaan mereka serta untuk membantu memeriahkan suasana ibu negara, Yayasan Food Street terbukti berjaya menjadi antara destinasi pilihan negara yang menarik minat peniaga, penduduk tempatan mahupun pelancong sejak ia mula dilancarkan pada 2021.
     
    Pihak Kompleks Yayasan sentiasa berusaha menyediakan ruang strategik untuk terus menyalurkan sokongan kepada para pengusaha tempatan dalam mengukuhkan portfolio perniagaan mereka dan meluaskan rangkaian pemasaran produk mereka yang memiliki nilai-nilai keistimewaan tersendiri. 
     
    Menariknya sebanyak 22 pengusaha makanan dan minuman tempatan telah mengambil bahagian dalam Yayasan Food Street bagi kitaran keenam, yang berlangsung selama lima bulan sebelumnya di Kompleks Yayasan dan kini telah melabuhkan tirainya pada bulan Disember baru-baru ini. 
     
    Pastinya pelbagai pengalaman berharga telah dirasai oleh para pengusaha yang menyertai terdiri daripada Chendol Kampong, Chakoi Rindu, Coffee Bean, Omma Gimbap The Mall, The Apam Balik Crispy, Alan’s Churros, Si Abang Corner, Putra Puteri Dimsum, Brunei Dumplings, The Roostar, Kokoberry, Nasi Katok MM, Nyampatea, Oishiitakoyaki, Stop Lok Go, Snowiie by The URBN Kitchen, The URBN Kitchen, Bubur Lambuk, Burgergar, Marvelous BBQ, Dapur Lagenda dan De’Drinks.
     
    LOKASI PERNIAGAAN STRATEGIK
     
    Dengan menampilkan keistimewaan produk makanan bubur lambuk dengan dua jenis pilihan iaitu ayam dan daging, pemilik Syarikat Ala Wani, Dayang Noor Hazwani binti Haji Abdul Hamid @ Pengiran Haji Zamani berkongsi sejenak mengenai pengalaman beliau menyertai Yayasan Food Street. Bukanlah mudah untuk mendapatkan tawaran menyertai salah satu vendor di kawasan tersebut namun beliau bersyukur dengan rezeki peluang berjaja di sana. Penglibatan syarikat beliau bersama Yayasan Food Street merupakan dalam anggaran kali ketiga sejak platform berkenaan mula ditubuhkan.
     
    Yayasan Food Street, salah satu usaha pihak Kompleks Yayasan untuk terus menyalurkan sokongan kepada para pengusaha tempatan meluaskan lagi rangkaian pemasaran produk mereka. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Syarikat Ala Wani menampilkan keistimewaan produk makanan bubur lambuk dengan dua jenis pilihan iaitu ayam dan daging. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Wafaa Wajihah yang mewakili bapa beliau mengusahakan produk Chendol Kampong dan Chakoi Rindu. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Pengasas Bersama Nyampatea menawarkan variasi teh tarik. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    “Pastinya banyak kelebihan terutamanya lokasi ini begitu strategik dan mudah diakses oleh semua pihak. Pembeli boleh datang terus ke vendor-vendor untuk memenuhi cita rasa mereka sama ada menikmati juadah di meja dan kerusi yang dikhaskan mahupun terus membawa pulang. Di samping itu, salah satu usaha kami untuk menjimatkan masa para pelanggan setia yang menempah awal menerusi dalam talian, kami turut menyediakan penghantaran langsung di mana mereka tidak lagi perlu untuk turun ke tempat vendor kami namun hanya menanti di letak kereta berdekatan yang dikhaskan,” ujarnya. 
     
    Dayang Noor Hazwani yang turut menawarkan menu sampingan untuk pilihan para pengunjung berasaskan pasta seperti spageti, carbonara dan aglio olio itu mengongsikan kesyukuran pendapatan harian dari hasil produk makanan yang diketengahkan dapat diperoleh secara langsung setiap hari sehingga mampu menampung pembayaran keperluan-keperluan tertentu. 
     
    PEMANGKIN GOLONGAN SYARIKAT START-UP
     
    Sementara itu, Pengasas Bersama Nyampatea, Awang Abdul Wafiy bin Haji Adanan turut berkesempatan mengungkapkan pandangan peribadinya dengan adanya penganjuran Yayasan Food Street ini sememangnya membuka peluang kepada golongan syarikat perniagaan start-up untuk menyerlahkan produk mereka di mata masyarakat secara langsung. 
     
    “Bagaikan batu loncatan bagi kami yang baharu menceburi bidang perniagaan ini untuk semakin dekat dengan orang awam lebih-lebih lagi Yayasan Food Street ini memiliki aura persekitaran yang begitu eksklusif kerana masing-masing vendor yang menyertai menonjolkan keunikan produk tersendiri,” luahnya. 
     
    Awang Abdul Wafiy yang menjalankan perusahaan bersama tiga orang rakan terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat itu turut menambah bahawa setakat ini mereka menawarkan variasi teh tarik antaranya teh Tarik Lejen, Teh Tarik Cincau, Teh Tarik Cheese, Teh Tarik Kupi dan Teh Tarik Hangat serta bermacam-macam lagi gabungan minuman teh tarik yang bakal dicipta nanti. 
     
    Berkongsi secara ringkas ketika mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan berasaskan produk minuman teh tarik berkenaan, Awang Abdul Wafiy menjelaskan mereka bermula memperkenalkan hasil sentuhan produk mereka semasa mengikuti Gerai Ramadan di Lapau pada tahun lalu, sebelum meneruskan perniagaan minuman teh tarik panas secara perkhidmatan katering. Kini syarikat mereka mempunyai tiga cawangan tetap di negara ini secara keseluruhan selain menyertai vendor di Kompleks Yayasan tersebut. 
     
    Mereka mengetahui mengenai platform Yayasan Street Food ini melalui perkongsian salah seorang sahabat yang dahulu pernah berjaja di salah sebuah vendor di sana. Lalu beliau bersama rakan kerjasamanya terus tekad membuat perjanjian dengan pihak Pengurusan Wadah Amal Sdn Bhd untuk proses permohonan lanjut kemudian akhirnya menerima respons positif untuk menyertai salah sebuah vendor bersama 21 vendor tempatan yang lain,” ujarnya. 
     
    BERKONGSI REZEKI DI BAWAH SATU BUMBUNG
     
    Manakala tidak ketinggalan juga bagi produk Chendol Kampong dan Chakoi Rindu di bawah Route Enterprise, Dayang Wafaa Wajihah binti Mohd Rosmadini yang mewakili bapa beliau, Awang Mohd Rosmadini bin Haji Mohd Yusof selaku pemilik syarikat antaranya mengongsikan bahawa Yayasan Food Street memberikan impak yang positif yang sukar diperoleh di mana-mana terutamanya dari segi strategi pemasaran dan ia juga sebuah lokasi di ibu negara yang semakin menjadi tarikan pelancongan bukan hanya dari luar negara bahkan juga penduduk tempatan. 
     
    “Selaras dengan moto syarikat kami untuk memartabatkan nilai-nilai budaya dan warisan negara menerusi sentuhan produk makanan dan minuman ‘rasa dulu-dulu’ itulah harapan kami tampil menyertai salah satu vendor di sini di samping bagi sama-sama mencari rezeki yang bagaikan di bawah satu bumbung ini.
     
    “Berjaja sini begitu melengkapi segalanya dari segi kemudahan tempat makan, tahap kebersihan yang memuaskan di samping kami merasakan sebagai sebuah keluarga menjalankan perniagaan di sini bersama vendor-vendor yang lain. Alhamdulillah!,” ucapnya. 
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda