Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yayasan Gates belanja AS$200 bilion hingga 2045

    NEW YORK, 9 MEI – Pengasas bersama Microsoft, Bill Gates, semalam mengumumkan rancangan mempercepatkan proses menyumbangkan keseluruhan kekayaannya, sambil memuji peranan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemangkin perubahan besar dalam meningkatkan kesihatan awam dan menyelamatkan nyawa di seluruh dunia.

    Di bawah jadual baharu itu, Yayasan Gates akan membelanjakan lebih daripada AS$$200 bilion dalam tempoh 20 tahun akan datang sebelum ditutup pada tahun 2045. Sebelum ini, yayasan itu dirancang untuk ditutup 20 tahun selepas kematian Gates.

    Pengumuman tersebut dibuat ketika Gates turut mengkritik seorang lagi tokoh teknologi dan hartawan, Elon Musk.

    Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu didakwa telah memaksa pemotongan drastik terhadap Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) hanya kerana Musk “tidak menghadiri satu parti hujung minggu itu”, kata Gates kepada New York Times, dipercayai menyindir gaya hidup Musk.

    Gates kini berada di kedudukan ke-13 dalam senarai jutawan masa nyata Forbes, dengan kekayaan bersih bernilai AS$$112.6 bilion, manakala Musk berada di tempat pertama dengan AS$$383.2 bilion.

    Dalam satu catatan blog mengumumkan perubahan tersebut, Gates, 69, memaparkan carta yang menunjukkan kekayaannya akan merosot sebanyak 99 peratus dalam tempoh dua dekad akan datang, sekali gus melipatgandakan kadar sumbangannya.

    “Orang ramai akan berkata pelbagai perkara tentang saya apabila saya meninggal dunia, tetapi saya bertekad agar ‘dia meninggal dunia dalam keadaan kaya’ tidak akan menjadi salah satu daripadanya,” tulis Gates. – AFP

    Bill Gates berucap pada sebuah acara di New Delhi pada 19 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda