Sunday, July 13, 2025
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yayasan hulur pelbagai sumbangan

    Oleh Yusrin Junaidi
    Gambar oleh Yusrin Junaidi dan Lyna Mohd

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Dalam memberikan perhatian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk khususnya ketika negara sedang berdepan dengan gelombang kedua penularan wabak COVID-19, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah menyampaikan sumbangan dalam pelbagai bentuk berjumlah hampir $250,000 keseluruhannya kepada beberapa pihak dan individu yang memerlukan.

    Sumbangan-sumbangan berkenaan disampaikan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan; dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

    Antara yang disumbangkan adalah 20 buah mesin pembersih udara dan 200 buah termometer inframerah, 2,500 naskhah buku Yasin dan doa-doa pendek terbitan Yayasan yang merupakan tulisan tangan, kepada Kementerian Kesihatan yang diterima oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

    Turut disumbangkan ialah peralatan pembelajaran dalam talian bagi membantu para pelajar yang memerlukan berupa 78 unit komputer riba di bawah Kementerian Pendidikan itu telah diterima oleh Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menyampaikan pelbagai sumbangan berjumlah keseluruhannya hampir $250,000 kepada pihak yang memerlukan bagi mengharungi cabaran pandemik COVID-19, disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan antaranya kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin dan yang lainnya, kelmarin. Hadir sama ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin– Gambar oleh Yusrin Junaidi
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyampaikan sumbangan bernilai $50,000 kepada Dato Paduka Dr Haji Affendy.
    Penyerahan sumbangan kepada salah seorang mangsa kebakaran.
    Sumbangan data kepada pelajar JPI

    Sebanyak 175 unit data, 37 buah komputer riba dan seunit tablet juga disumbangkan khusus bagi seramai 216 orang pelajar yang akan menduduki peperiksaan bersijil di bawah kawalan Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Sumbangan tersebut diterima oleh Setiausaha Tetap di KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

    Sementara itu, Yayasan juga menyerahkan sumbangan kepada Persatuan SMARTER Brunei dan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan), masing-masing menerima $50,000, untuk memeduli kebajikan dan kesejahteraan golongan orang kelainan upaya (OKU) kerana mereka sewajarnya diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran supaya menjadi individu yang berjaya dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.

    Sumbangan kewangan berkenaan yang merupakan sumbangan tahunan Yayasan (bagi 2022) telah diterima oleh Yang Di-Pertua Persatuan SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang dan Pemegang Amanah Kesihatan Pusat Ehsan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

    Seterusnya, sumbangan berjumlah $3,450 pula diserahkan kepada mangsa kebakaran Kampung Burong Pingai Ayer, pada 16 Oktober lalu, yang terdiri daripada tiga buah keluarga (sembilan orang) terdiri daripada Haji Bali bin Yahya dan Dayang Wan Zunaidah binti Mohammed Zain Ariff.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda