Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah menyampaikan sumbangan kepada dua badan bukan kerajaan yang mengendalikan program pembangunan dan pemulihan golongan orang kelainan upaya (OKU) iaitu Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) dan SMARTER Brunei.
Berkenan menyerahkan sumbangan berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan pada majlis yang diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan.
Pusat Ehsan menerima sumbangan kewangan sebanyak $50,000 dan diterima oleh Ketua Guru Ugama, Pusat Ehsan, Awang Sanif bin Haji Tarip.
Sumbangan ini merupakan bantuan tahunan Yayasan untuk memberikan sokongan kepada pusat itu dalam mengendalikan perkhidmatan dan latihan kepada insan-insan istimewa yang kelainan upaya dari segi anggota dan intelek untuk membolehkan mereka mencapai potensi ke tahap maksimum.
Sementara itu, SMARTER Brunei menerima sumbangan kewangan berjumlah $50,000 dan diterima oleh Yang Di-Pertua SMARTER Brunei, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.
Daripada jumlah sumbangan tersebut, sebanyak 50 peratus disumbangkan kepada SMARTER Brunei untuk mengendalikan urusan pengajaran dan pembelajaran khusus bagi anak-anak autistik. Manakala sebanyak 50 peratus lagi adalah untuk pembayaran yuran pendidikan yang dikenakan oleh SMARTER Brunei bagi mengajar anak-anak autistik daripada keluarga yang berpendapatan rendah.
Sumbangan tersebut merupakan keprihatinan Yayasan terhadap kebajikan dan kesejahteraan golongan OKU yang sewajarnya diberikan bimbingan, didikan dan kemahiran supaya mereka menjadi individu yang berjaya dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.