Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MAC – Sebanyak 79 buah masjid, surau dan balai ibadah di seluruh negara menerima sumbangan yang keseluruhannya berjumlah $88,400 bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir khususnya bagi sepanjang bulan Ramadan 1442 Hijrah yang akan datang.
Majlis penyampaian sumbangan daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) itu telah diadakan di Dewan Serbaguna, Tingkat 4, Kompleks Yayasan di mana sumbangan telah disampaikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan kepada imam-imam dan pegawai masjid berkenaan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.
Turut hadir ialah penolong-penolong pengarah urusan Yayasan, pegawai-pegawai kanan kerajaan yang berkenaan serta pegawai-pegawai Yayasan.
Sumbangan berkenaan juga merupakan usaha menyokong peranan masjid untuk meningkatkan dan mengembangkan syiar Islam.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-1-2A_30032021.jpg)
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2021/03/PAGE-5-Pix-jump-656_30032021.jpg)