Friday, September 20, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yayasan hulur sumbangan berjumlah $123,000

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Atas dasar kemanusiaan dan keprihatinan, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) turut sama menyokong penubuhan Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria dengan menghulurkan sumbangan berjumlah $100,000.

    Sumbangan berkenaan telah diserahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah
    Yayasan pada majlis yang diadakan di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Perdana Menteri, hari ini.

    Ia diterima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku penasihat bersama jawatankuasa tabung kemanusiaan tersebut.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan penubuhan tabung kemanusiaan berkenaan pada 14 Februari lalu.

    Pada majlis yang sama, Yayasan juga telah menyerahkan sumbangan berjumlah $15,000 bagi menaja sebahagian perbelanjaan untuk mengadakan Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2023 yang akan diadakan pada 12 hingga 14 Jun depan.

    Sumbangan diserahkan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi kepada Pengerusi Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2023, Awang Iswandy bin Ahmad.

    Ia merupakan satu usaha Yayasan untuk menggariskan usaha mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat pada salah satu tujuan utama penubuhannya.

    Manakala itu, dengan hasrat untuk meringankan beban mangsa musibah dalam meneruskan kehidupan harian mereka, Yayasan telah menyumbangkan bantuan berjumlah $8,000 kepada dua buah keluarga yang terlibat dalam bencana kebakaran rumah.

    Menerima bantuan berkenaan ialah Awang Muhammad Hazman bin Abdul Nasir dari Kampung Sungai Besar dan Hajah Siti Khadijah binti Haji Ibrahim dari Kampung Telanai, selaku ketua-ketua keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menyerahkan sumbangan untuk Tabung Kemanusiaan Gempa Bumi Republik Turkiye dan Republik Arab Syria kepada Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi. – Gambar oleh Bahyiah Bakir
    Yang Berhormat Pehin menyerahkan sumbangan bagi menaja sebahagian perbelanjaan untuk mengadakan Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2023 kepada Awang Iswandy.
    Yang Berhormat Pehin menyerahkan sumbangan kepada Awang Muhammad Hazman dari Kampung Sungai Besar.
    Yang Berhormat Pehin menyerahkan sumbangan kepada Hajah Siti Khadijah dari Kampong Telanai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda