Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 DIS – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah $97,800 kepada 13 mangsa kebakaran, rumah roboh dan bantuan membaik pulih dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian kesemua sumbangan berkenaan kepada para penerima ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.
Pada majlis berkenaan, Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah $26,800 kepada lapan buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan rumah roboh di beberapa buah kampung di seluruh negara.
Mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran ialah Haji Abdul Rahman bin Samad dari Kampung Bukit Sibut, Lubok Pulau Tutong; Awang Mislee bin Haji Kassim dari STKRJ Katok B; Haji Jefry bin Abdullah dari STKRJ Rumah Kembar Kampung Rimba; Awang Mohd Fadhli bin Abdullah dari Lorong 3 Selatan, Seria; Dayang Siti Marinah binti Abdullah Lee dari Lorong 3 Selatan, Seria dan Dayangku Maslelawati binti Pengiran Abdul Karim dari Lorong 3 Selatan, Seria.








Mereka yang terlibat dalam musibah rumah roboh ialah Dayang Noorlita binti Haji Abdul Ghani di Kampung Burong Pingai Ayer dan Awang Mohd Salleh bin Apong di Kampung Tamoi Ujong.
Sementara itu, Yayasan juga menyampaikan bantuan berupa sumbangan kewangan yang keseluruhannya berjumlah $71,000 bagi tujuan membaik pulih rumah lima buah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan kepada ketua-ketua keluarga iaitu Dayang Jemilah binti Haji Marzi dari Kampung Junjungan, Hajah Madiah binti Amit dari Kampung Tarap Bau, Dayang Noralizah binti Manaf dari Kampung Bebatik, Haji Saban bin Haji Omar dari Kampung Perpindahan Bukit Beruang dan Dayang Hajijah binti Ahmad dari Kampung Sengkarai.
Antara tujuan penubuhan Yayasan dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat adalah memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan termasuk tempat tinggal yang sempurna dan selamat.
Penubuhan Yayasan ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

