Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah menyumbangkan $86,300 kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan rumah roboh serta kepada 73 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Majlis penyampaian sumbangan yang diadakan di Dewan An-Naura, Tingkat 2, Kompleks Yayasan telah dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-Bantuan Yayasan.
Daripada jumlah tersebut, $78,500 telah diagihkan kepada 73 buah masjid bagi mengadakan majlis dan aktiviti takmir khususnya bagi sepanjang bulan Ramadan 1445 Hijrah yang akan datang.
Sumbangan bagi masjid, surau dan balai ibadat di Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Tutong telah disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi, manakala sumbangan bagi Daerah Belait dan Daerah Temburong pula disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham.
Sumbangan diserahkan kepada imam-imam dan pegawai-pegawai masjid berkenaan.
Sementara itu, $7,800 telah disumbangkan kepada enam buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan rumah roboh di beberapa buah kampung di seluruh negara yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi.
Ketua-ketua keluarga yang hadir untuk menerima sumbangan berkenaan ialah Awang Ainul Iqmal bin Murni dan Awang Mohd Firdaus bin Murni dari Kampung Simbatang; Awang Shahliyas bin Haji Sulaiman dari Kampung Bolkiah A serta Pengiran Hamdani bin Pengiran Duraman, Hajah Noraini binti Haji Bini dan Dayang Siti Nuratikah binti Jalil dari Kampung Serusop.
Sumbangan merupakan bantuan segera dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.
Turut hadir ialah Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman, selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan dan pegawai-pegawai kanan kerajaan serta pegawai-pegawai Yayasan.