Wednesday, January 22, 2025
27.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yayasan memperingati hari puja usia

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Sempena memperingati Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke-50 tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) selaku Sekretariat Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) telah mengadakan Majlis Doa Kesyukuran di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, hari ini.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan, berkenan berangkat ke majlis tersebut.

    Hadir bagi menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA; Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA; dan Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan bertahlil beramai-ramai dan seterusnya bacaan Doa Kesyukuran.

    Majlis diteruskan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Metassan bin Haji Tahir.

    DANA merupakan pesambah yang berkekalan dalam bentuk yayasan amal yang disembahkan oleh Yayasan bersempena memperingati pemasyhuran Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah menjadi DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pada 10 Ogos 1998. DANA telah ditubuhkan pada 25 Ogos 1998.

    Hadir sama pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Lembaga Pemegang DANA, para jemputan khas antaranya para penyumbang tetap DANA, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke Majlis Doa Kesyukuran sempena Hari Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ke-50 yang dianjurkan Yayasan, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan sama-sama menunaikan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Metassan. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda