Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB- Sempena Memperingati Hari Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) ke-51 tahun, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) selaku Sekretariat Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA) mengadakan Majlis Doa Kesyukuran petang tadi di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan di ibu negara.
Berangkat ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.
Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Jemaah Tadbir Yayasan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof.
Juga menjunjung keberangkatan ialah Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Menteri Kesihatan selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dan Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan bertahlil beramai-ramai dan seterusnya bacaan Doa Kesyukuran sempena Hari Ulang Tahun Puja Usia Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota ke-51 Tahun, diikuti dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Metassan bin Haji Tahir.
DANA adalah merupakan pesambah yang berkekalan dalam bentuk yayasan amal yang disembahkan oleh Yayasan bersempena memperingati pemasyhuran Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah menjadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota pada 10 Ogos 1998. DANA telah ditubuhkan pada 25 Ogos 1998.
Hadir sama di majlis berkenaan ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah DANA dan para jemputan khas di antaranya adalah sebahagian para penyumbang tetap DANA, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.