Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yayasan peringati hari puja usia

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Sempena memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia ke-42 Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) hari ini mengadakan Majlis Doa Kesyukuran yang berlangsung dengan penuh adat istiadat dan suasana penuh takzim.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan berkenan berangkat ke majlis tersebut.

    Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ke majlis tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri Hal Ehwal Luar Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd Yusof selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.

    Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin, diikuti dengan Doa Kesyukuran Hari Ulang Tahun Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, yang dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat. Majlis kemudian diteruskan dengan sembahyang Fardu Asar berjemaah.

    Dalam majlis itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan memotong kek hari puja usia dan serta menerima pesambah daripada pihak Yayasan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan memotong kek hari puja usia pada Majlis Doa Kesyukuran tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    ATAS & BAWAH: Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan anak kunci rumah kepada para penerima. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik diputerakan pada 19 Ramadan 1403 Hijrah bersamaan 30 Jun 1983 dan telah dilantik sebagai Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan pada 1 Mac 2013 (18 Jamadilakhir 1434 Hijrah).

    Sejak menerajui pucuk pimpinan Yayasan, Duli Yang Teramat Mulia dikenal sebagai seorang yang prihatin terhadap hal ehwal kebajikan rakyat dan perkembangan institusi Yayasan.

    Duli Yang Teramat Mulia juga sering berkenan mempengerusikan mesyuarat, meninjau serta melibatkan diri secara langsung dalam pelbagai projek dan aktiviti Yayasan.

    Majlis turut menyaksikan Duli Yang Teramat Mulia berkenan menyempurnakan pengurniaan anak-anak kunci rumah bantuan Skim Perumahan Yayasan kepada lima buah keluarga kurang berkemampuan dari pelbagai daerah.

    Mereka ialah Awang Muhammad Saiful Hazim bin Abdullah dari Daerah Brunei dan Muara; Hajah Kasum binti Haji Suhaili dari Daerah Belait; Awang Jahar bin Piut, Dayang Norinsan binti Mohammad Ali dan Dayang Rokiah Anak Pagan dari Daerah Temburong.

    Rumah bantuan itu adalah di bawah Skim Perumahan Yayasan, yang ditujukan kepada rakyat berpendapatan rendah dan tinggal dalam keadaan kediaman daif.

    Turut hadir memeriahkan majlis ialah ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, ahli-ahli lembaga pengarah, ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim, para jemputan khas, pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda