Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yayasan ringankan beban mangsa kebakaran, bencana alam

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) menyampaikan sumbangan keseluruhannya berjumlah $42,050 kepada 10 buah keluarga yang terlibat dalam kebakaran dan bencana alam, Ar-Razaq Kifayah Management serta Masjid Kampung Penapar, Mukim Tanjong Maya, Tutong, dalam majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di Ibu Pejabat Yayasan, Jalan Perdana Menteri, hari ini.

    Kesemua sumbangan kewangan Yayasan pada majlis berkenaan telah disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku ahli lembaga pengarah dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak, selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.

    Pada majlis berkenaan, Yayasan menyampaikan sumbangan kewangan keseluruhannya berjumlah $14,250 kepada 10 buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran rumah dan bencana alam di beberapa buah kampung di seluruh negara.

    Mereka yang terlibat dalam musibah kebakaran iaitu Pengiran Mohammad Aide Suhardi bin Pengiran Suhaimi dari Teres Lumut 2, Kuala Belait; kejadian rumah roboh iaitu Dayang Mazriyati binti Mohd Sufyan dari Kampung Peramu; dan kejadian angin kencang iaitu Awang Mohammad Daud bin Haji Umar dari Kampung Junjongan, Haji Akup bin Haji Matnor dari Kampung Sengkurong, Awang Hassim bin Hassan dari Kampung Pekan Lama, Awang Sufian bin Tuah dari Kampung Junjongan, Awang Nayan @ Muhammad Izzuddin bin Rajab dari Kampung Selayun, Awang Tamin bin Tangkim dari Kampung Belimbing, Dayang Noorlila binti Haji Rosli dari Kampung Selayun dan Dayang Noraisah binti Aris@Rais dari Kampung Junjongan.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi semasa hadir bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan berkenaan. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada keluarga-keluarga yang terlibat dalam musibah. – GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.
    GAMBAR OLEH SIM Y.H.

    Sumbangan berkenaan merupakan bantuan segera dihasratkan bagi meringankan beban keluarga mangsa yang terlibat dalam meneruskan kehidupan harian mereka.

    Sementara itu, Yayasan juga menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah $6,000 kepada Ar-Razaq Kifayah Management bagi tujuan menaja sebahagian perbelanjaan untuk mengadakan Konvensyen Pemimpin Muda Brunei 2025 pada 9 hingga 11 September.

    Sumbangan itu merupakan sokongan Yayasan untuk mendukung salah satu objektif penubuhannya iaitu bagi mempertingkatkan penglibatan dan penyertaan belia dalam pembangunan masyarakat melalui penganjuran program-program pembangunan kemasyarakatan dan sosiobudaya.

    Sumbangan diterima oleh Pengerusi Konvensyen Pemimpin Muda Belia, Dayangku Fatin Nur’Masayuni Safwana binti Pengiran Roslan.

    Manakala itu, dalam usaha menyokong peranan masjid dan memberikan kemudahan kepada masyarakat khususnya dalam urusan hal ehwal kematian, Yayasan memberikan sumbangan kewangan berjumlah $21,800 kepada Masjid Kampung Penapar, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong bagi pembinaan bilik pengurusan jenazah di masjid berkenaan.

    Sumbangan diterima oleh Imam Masjid Kampung Penapar, Mukim Tanjong Maya, Daerah Tutong, Awang Mohd Abdul Wafiy bin Haji Abdul Kadiroshman.

    Penubuhan Yayasan ialah sebagai wadah amal jariah atau derma khairat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan ahli kerabat Baginda iaitu sebagai tanda pemedulian dan kasih Baginda kepada rakyat Baginda di samping menjadi pembentukan masyarakat di Negara Brunei Darussalam yang sejahtera dan makmur.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda