Saturday, July 6, 2024
23 C
Brunei

    -

    Yayasan sumbang $50,000 kepada dua persatuan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Sumbangan kewangan berjumlah $50,000 telah dihulurkan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) kepada dua buah persatuan atau badan berkebajikan yang mengendalikan program-program pembangunan dan kemasyarakatan kepada golongan-golongan tertentu.

    Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik selaku Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan telah berkenan berangkat bagi menyempurnakan penyampaian sumbangan kewangan berkenaan di Dewan An-Naura Kompleks Yayasan, hari ini.

    Majlis berkenaan adalah bersempena dengan Majlis Doa Kesyukuran Sempena Memperingati Hari Ulang Tahun Puja Usia DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ke-41 Tahun.

    Penerima sumbangan berkenaan ialah Aftercare Support Association (AFSA), di mana Yayasan menyumbangkan sebanyak $25,000 bagi mengendalikan program-program memperkasa rakan seliaan.

    AFSA merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang mempunyai misi bersama dengan kerajaan dalam menangani kebajikan rakan seliaan.

    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Yayasan kepada AFSA. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Program-program yang telah dirancang adalah bagi memberikan peluang kepada rakan-rakan seliaan dalam mempertingkatkan kemampuan diri agar dapat membangun diri sendiri, keluarga dan seterusnya negara.

    Sumbangan berkenaan telah diterima oleh Yang Di-Pertua AFSA, Hajah Juhana binti Haji Mohd Jaya.

    Manakala itu, sumbangan $25,000 juga telah diserahkan kepada Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) bagi menyediakan Pusat Persinggahan Aftercare atau Aftercare Drop-In Centre (ADIC).

    BASMIDA merupakan sebuah persatuan kebangsaan anti-dadah yang ditubuhkan pada 1989 bagi menjalankan kegiatan pendidikan pencegahan penyalahgunaan dadah menggunakan berbagai-bagai langkah strategik dengan melibatkan beberapa agensi kerajaan dan pelbagai lapisan masyarakat.

    Melalui ADIC, BASMIDA telah pun merancang program-program yang diharap akan dapat menyesuaikan bekas residen Pusat Al-Islah dengan masyarakat umumnya.

    Sumbangan daripada Yayasan diserahkan kepada Yang Di-Pertua Persatuan BASMIDA, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali.

    Sumbangan-sumbangan tersebut merupakan keprihatinan Yayasan dalam melaksanakan objektif strategik bagi memberikan peluang alternatif kepada golongan sasar yang memerlukan bantuan melalui persatuan dan badan berkebajikan yang mengendalikan program pembangunan terhadap golongan sasar yang memerlukan bantuan dan bimbingan.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah ahli-ahli Jemaah Tadbir Yayasan, Lembaga Pengarah Yayasan dan Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim (DANA), para jemputan khas, pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    NZ keluarkan panduan guna peranti di sekolah

    WELLINGTON, 5 JULAI - Memandangkan kanak-kanak New Zealand (NZ) mencatat kadar penggunaan peranti tertinggi di dunia, garis panduan baharu untuk membantu mengimbangi risiko kesihatan...