Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 SEPT – Sumbangan berjumlah $133,013 daripada Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah diagihkan kepada beberapa buah keluarga yang memerlukan bantuan dan kepada 64 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara, hari ini.
Majlis penyampaian sumbangan pada majlis yang diadakan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan, di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.
Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan Pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan serta Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak $24,963 disumbangkan untuk membaik pulih rumah sebuah keluarga yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan di Kampung Parit Belayang, Daerah Temburong.
Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan kepada ketua keluarga iaitu Dayang Munah binti Suboh.
Bantuan tersebut selaras dengan tujuan penubuhan Yayasan dalam mempertingkatkan kualiti kehidupan dan kesejahteraan rakyat dengan memberikan pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan termasuk memberikan tempat tinggal yang sempurna dan selamat.
Sejumlah $41,350 pula diagihkan kepada 10 buah keluarga yang menjadi mangsa kebakaran rumah dan rumah roboh yang juga disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Ketua-ketua keluarga yang hadir untuk menerima sumbangan berkenaan ialah Pengiran Abdul Waree bin Pengiran Abdul Ghani dari Kampung Madewa, Haji Azhari bin Haji Dullah dari Kampung Setia B, Awang Ghadafi bin Abdul Nasir dari Kampung Bebatik, Haji Jalil bin Haji Nasar dari Kampung Saba Tengah, Awang Kijam bin Laye dari Kampung Panchong, Awang Ilman bin Bungsu dari Kampung Bendahara Lama, Awang Mohd Yasin bin Suhaili dari Kampung Layong Tutong, serta Dayang Mariam binti Haji Lamit, Hajah Aisah binti Haji Timbang dan Dayang Fatimah binti Raman dari Kampung Tamoi Tengah.
Sementara itu, sebanyak 64 buah masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara menerima sumbangan berjumlah $66,700 bagi mengadakan majlis atau aktiviti sempena Maulidur Rasul SAW bagi tahun 1445H/2023M.
Sumbangan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua berkenaan adalah selaras dengan dasar dan tujuan Yayasan dalam mempertingkatkan syiar Islam di negara ini.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 21 buah masjid, surau dan balai ibadat adalah di Daerah Brunei dan Muara, 23 di Daerah Tutong, lapan di Daerah Belait dan 12 di Daerah Temburong.
Sumbangan-sumbangan tersebut diterima oleh imam-imam masjid, surau dan balai ibadat berkenaan.