Wednesday, September 25, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Yayasan terima Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN ke-7

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah diiktiraf dan terpilih bagi pihak Negara Brunei Darussalam untuk menjadi penerima Anugerah Perniagaan Inklusif ASEAN (ASEAN IB) ke-7 tahun ini, pada majlis yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Lao Plaza, Vientiane, Laos, kelmarin.

    Hadir menerima anugerah itu bagi pihak Yayasan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan Anugerah ASEAN IB ke-7 itu telah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Sonexay Sithphaxay bagi pihak Sekretariat ASEAN.

    Menurut kenyataan yang diterima hari ini, pengiktirafan yang diterima Yayasan itu adalah dengan mengambil kira bantuan-bantuan dan sumbangan Yayasan melalui Program Sara Diri.

    Program tersebut telah membantu golongan keluarga yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah untuk memulakan perniagaan dengan diberikan latihan kemahiran dan bantuan modal yang dipantau sehingga mereka berjaya dan mandiri seterusnya membantu keluarga lain yang baharu berkecimpung dalam bidang perniagaan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi menerima anugerah daripada TYT Sonexay Sithphaxay pada majlis yang berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Lao Plaza, Vientiane, Laos. – GAMBAR SERAHAN YAYASAN
    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bergambar ramai bersama penerima anugerah pada majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN YAYASAN

    Rantaian bantuan yang berterusan dalam program tersebut adalah menepati kriteria penilaian Anugerah ASEAN IB dan telah menarik minat Jawatankuasa Penyelaras Perusahaan-perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana ASEAN (ACCMSME).

    ASEAN IB itu adalah bagi menyerlahkan tatacara yang dipraktikkan dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan dan berpendapatan rendah untuk berdikari dan mandiri melalui perniagaan dan perusahaan kecil.

    Dalam pada itu, Yayasan telah menerima jemputan daripada Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dalam kapasiti mereka sebagai focal point dan wakil utama bagi Negara Brunei Darussalam kepada Jawatankuasa Penyelaras ACCMSME untuk mengemukakan permohonan Anugerah ASEAN IB ke-7.

    Anugerah ASEAN IB telah mula diperkenalkan di peringkat ASEAN sejak tahun 2017 untuk penekanan yang lebih besar dalam mewujudkan persekitaran yang membolehkan perniagaan inklusif.

    ACCMSME telah menerajui dalam mempromosikan perniagaan inklusif di ASEAN pada tahun 2018 iaitu dengan menyediakan pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal, modal perniagaan menggalakkan pembangunan pengusaha-pengusaha kecil menyatupadukan ke dalam rantaian nilai serantau dan global.

    Program dua hari berkenaan juga dihadiri oleh dua pegawai Yayasan iaitu Pemangku Penolong Pengarah Urusan Yayasan (Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Sosial), Dayang Sufinah binti Haji Sulaiman, dan Pegawai Yayasan (Program Sara Diri), Awang Mohammad Ali Rahman bin Awang Besir yang mengongsikan Tatacara Perlaksanaan Program Sara Diri melalui Projek Bantuan Keusahawanan Yayasan yang mula diperkenalkan sejak tahun 2015 bersama wakil-wakil dari negara ASEAN yang lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda