Penyanyi Yazmin Aziz tampil menjawab dakwaan warganet yang menyifatkan dirinya hanya kelihatan cantik di media sosial tetapi tidak ketika bertemu secara berdepanan.
Tidak melatah membaca komen ditulis itu, Yazmin, 22, memberitahu dia sama sekali tidak pernah menganggap dirinya cantik kerana baginya kebaikan sebenar datang daripada hati dan bukan paras rupa semata-mata.
“Saya minta maaf sekiranya penampilan saya mengganggu awak. Saya tidak pernah cakap saya ini cantik.
“Apa-apa pun kita semua ciptaan Tuhan. Saya terima diri saya seadanya. Lagi pun bukan ke hati yang baik lebih penting daripada muka yang cantik? Fikirkan semula apa yang awak cakap,” katanya.
Yazmin berkongsi perkara itu menerusi sebuah video yang dimuat naik di TikTok miliknya.
Penyanyi berkenaan menjawab komen seorang warganet sebuah video yang memaparkan Yazmin sedang berjalan di karpet merah Anugerah TikTok Malaysia 2023 malam kelmarin.
Warganet berkenaan berkata Yazmin hanya cantik dalam video TikTok dan tidak sama sekiranya berjumpa secara berdepanan.
“Dia sangat lawa dalam TikTok tetapi bukan depan-depan ya,” tulis warganet.
Dalam pada itu, Yazmin turut menegaskan setiap individu mempunyai kekurangan diri dan berdepan perjalanan hidup berbeza.
Malah dia mengaku tidak sempurna dan berdepan dengan masalah berat badan selepas kehilangan datuk tercinta.
“Saya juga mengaku saya tidak tinggi dan mengalami kenaikan berat badan selepas datuk saya meninggal dunia… sedih kan!” – Agensi