Wednesday, January 22, 2025
29.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    YB Pehin Haji Awang Abu Bakar terima Anugerah Pendidikan SHOAS

    Oleh Siti Nur Wasimah S & Salawati Haji Yahya

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pagi tadi telah berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah-anugerah Hari Guru di Majlis Sambutan Hari Guru ke-27 tahun 2017 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.

    Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia berkenan menyampaikan Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.)Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong.

    Yang Berhormat Pehin merupakan tokoh yang banyak menyumbang jasa kepada negara, termasuklah dalam menerajui usaha-usaha ke arah memajukan dan memantapkan bidang pendidikan.

    Antara sumbangan yang signifikan oleh Yang Berhormat Pehin terutamanya dalam perkembangan dan kemajuan pendidikan bagi peringkat negara dan antarabangsa ialah apabila Universiti Brunei Darussalam (UBD) ditubuhkan dan beliau merupakan salah seorang pemimpin perintis.

    Semasa menjawat jawatan Naib Canselor UBD, kerana keinginan yang kuat untuk melihat perkembangan peringkat pengajian tinggi, beliau telah mencabar dekan-dekan pada ketika itu untuk menghasilkan graduan pertama Ijazah Kedoktoran.

    Penerima Anugerah Pendidikan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien (SHOAS) Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa ditemuramah oleh wartawan Media Permata, kelmarin. – Gambar oleh Shazwani Haji Rosli

    Hasrat itu telah direalisasikan oleh Jabatan Sains dan Matematik, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah yang melahirkan graduan pertama ijazah kedoktoran dalam bidang Matematik. Selain itu, sumbangan beliau semasa menjadi Naib Canselor juga adalah penukaran Cokmar kepada Mushaf Al-Quran.

    Dalam temu bual bersama Media Permata hari ini, Yang Berhormat Pehin berkata, Kementerian Pendidikan sejak beberapa tahun telah pun melaksanakan beberapa rancangan dalam usaha untuk meningkatkan pembelajaran seperti dengan memperkenalkan program kepimpinan sekolah yang bukan sahaja khusus kepada pemimpin-pemimpin sekolah tetapi juga kepada guru-guru.

    Di samping itu, Negara Brunei Darussalam juga akan turut menyertai Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) pada tahun hadapan.

    Menyentuh mengenai dengan peningkatan pencapaian pelajar pula, beliau menyatakan, terdapat peningkatan di dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSR) dan juga peperiksaan awam yang lain. Usaha Kementerian Pendidikan bersama dengan penggerak dalam meningkatkan prestasi pelajar-pelajar PSR dari Gred ‘A’ ke Gred ‘C’ telah pun menampakkan kejayaannya.

    “Dari sudut itu, kita merasa yakin bahawa hala tuju yang dilaksanakan oleh kementerian adalah hala tuju yang tepat dan usaha erat semua pihak berkenaan berserta dengan ibu bapa, kita akan mencapai tahap pendidikan yang lebih baik daripada sebelum ini,” ujarnya.

    Yang Berhormat Pehin juga berkata, peranan ibu bapa adalah penting dalam mengetahui dan memantau prestasi anak-anak mereka di samping untuk memberikan sokongan yang berterusan sepanjang pengajian mereka.

    Menurut beliau, ada beberapa cara yang dapat dilakukan oleh para ibu bapa ketika anak mereka pulang ke rumah untuk meningkatkan lagi mutu pelajaran mereka seperti mewujudkan satu suasana pembelajaran di rumah dengan memberikan ruang dan masa bagi anak mereka untuk mengulang kaji pelajaran dan membuat kerja rumah mereka.

    Dengan ini, ianya akan dapat menyediakan ruang ekosistem yang kondusif di rumah masing-masing.

    Menyentuh mengenai sistem pendidikan dahulu dan sekarang, beliau berkata, tiada terdapat perbezaan sebaliknya apa yang dilaksanakan pada masa ini adalah penerusan sistem pendidikan yang berjalan dan penambahbaikan kerana ada ruang-ruang yang boleh dipertingkatkan lagi.

    Usaha-usaha yang dibuat pada masa ini ialah penambahbaikan, memajukan bidang-bidang yang diperlukan kerana perkara-perkara ini dapat dicapai menerusi kerjasama erat semua agensi dan pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan.

    Turut menerima anugerah di majlis tersebut hari ini ialah Dato Paduka Haji Ali Hashim bin Haji Daud yang menerima Anugerah Guru Berjasa.

    Beliau yang dilahirkan pada 19 Jun 1947 telah mula berkhidmat dengan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 12 Ogos 1972 sebagai pegawai pelajaran.

    Beliau berkecimpung sepenuhnya dalam bidang pendidikan selama 29 tahun 10 bulan dan mula bersara pada 14 Jun 2002. Sepanjang tempoh perkhidmatan dengan kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan, beliau telah menyandang beberapa jawatan penting seperti Timbalan Pengetua Sekolah Menengah Berakas, Pegawai Pentadbir Kanan Kementerian Pendidikan, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan dan banyak lagi.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berkenan menyempurnakan anugerah kepada lima orang penerima Anugerah Guru Cemerlang iaitu Haji Mat Dani bin Haji Abu Bakar yang merupakan tenaga pengajar di Sekolah Rendah Tanah Jambu; Pengiran Dr Mohammad Iskandar bin Pengiran Haji Petra dari Universiti Brunei Darussalam; Haji Maidi bin Haji Ahmad dari Sekolah Ugama Lumapas; Dayang Mariah binti Haji Ab Manaf dan Dayang Zaitunah binti Haji Kurus dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei.

    Baginda juga berkenan menyempurnakan penyampaian Anugerah Penghargaan Hari Guru kepada 20 orang penerima yang terdiri daripada tenaga-tenaga pengajar, guru-guru yang telah memberikan sumbangan dalam melahirkan pelajar-pelajar yang berjaya dalam bidang atau mata pelajaran masing-masing serta bergiat aktif dalam mengendalikan dan melaksanakan program-program atau projek-projek sama ada di institusi, sekolah di samping menyertai kegiatan yang dianjurkan oleh agensi-agensi lain.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda