YDI ASEAN Fasa II dilancarkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Mesyuarat Menteri Belia ASEAN (AMMY), hari ini, telah melancarkan laporan Indeks Pembangunan Belia (YDI) ASEAN Fasa II bersempena dengan Hari Belia Antarabangsa 2021, hari ini.

Hadir mewakili Negara Brunei Darussalam pada majlis pelancaran itu ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet) di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan KKBS, Indeks Pembangunan Belia ASEAN Fasa II yang memfokuskan kepada domain kelima iaitu Memahami Bagaimana Belia Melihat ASEAN: Kesedaran, Nilai dan Identiti, itu adalah untuk mengenal pasti masalah utama belia dan untuk melihat perspektif belia mengenai ASEAN.

Matlamat utama adalah untuk menjadikan asas kepada pembuat dasar dan pihak berkepintingan untuk membuat keputusan, rancangan, dan dasar untuk mendukung para belia di samping mempromosikan pembangunan belia dan untuk melihat bagaimana kesedaran dan penerimaan belia terhadap ASEAN akan dapat ditingkatkan.

Pengiran Mohammar Amirrizal dipetik berkata, meneroka domain mengenai kesedaran, nilai, dan identiti bukan sahaja memberikan gambaran yang lebih komprehensif mengenai belia ASEAN, tetapi untuk pertama kalinya, ia juga memberikan pemahaman penting mengenai hubungan tidak ketara antara belia dan ASEAN.

Pengiran Mohammad Amirrizal (kanan atas) ketika menghadiri majlis pelancaran secara maya berkenaan. – Gambar serahan KKBS

Tambah beliau, ini boleh dikatakan domain yang paling mencabar untuk digambarkan tetapi ia lebih relevan daripada sebelumnya dengan penerapan Naratif Identiti ASEAN dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-37 pada November 2020 dengan kesan mendalam pada COVID-19 yang masih dirasakan oleh anak muda di rantau ini.

Kenyataan menyatakan bahawa AMMY telah melancarkan Fasa Pertama YDI pada 2017 yang merangkumi empat domain iaitu pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan, pekerjaan dan
peluang serta penyertaan dan penglibatan.

Belia adalah agenda penting di seluruh negara dan memerlukan perhatian kerana mereka adalah pemimpin sekarang dan masa depan serta pemangkin pembangunan ekonomi, sosial dan budaya.

Untuk memastikan pembangunan belia yang berkesan, adanya keperluan untuk mewujudkan banyak dasar berasaskan bukti mengenai pembangunan belia.

Di sinilah YDI menjadi penting sebagai asas untuk merumuskan dasar dan program berkaitan pembangunan belia baik di negara anggota ASEAN dan ASEAN.