Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JULAI – Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-17 di Agensi Pemasaran Prysm, Madang Cove baru-baru ini.
Ia dipengerusikan oleh Presiden YEAB, Dayang Fatin binti Arifin dan dihadiri oleh ahli YEAB serta tetamu jemputan. Mesyuarat turut membincangkan laporan aktiviti YEAB antara tahun 2021 sehingga 2023, keahlian dan kemas kini kewangan serta diakhiri dengan pemilihan ahli jawatankuasa eksekutif baharu bagi tahun 2023 hingga 2025.
Jawatankuasa eksekutif baharu diketuai oleh Presiden, Chai Li menggantikan Dayang Fatin.
Beliau dalam ucapan alu-aluannya berterima kasih atas peluang dan kepercayaan yang diberikan dan teruja memulakan lembaran baharu serta bekerjasama dengan ahli jawatankuasa baharu untuk mencapai kejayaan dalam keusahawanan Brunei.
Manakala Dayang Fatin dalam ucapannya turut menyatakan penghargaan atas penghormatan diberikan kepadanya menerajui YEAB dalam masa empat tahun lalu bersama ahli jawatankuasa terdahulu.
“Sepanjang tempoh itu, YEAB mengasaskan beberapa inisiatif termasuk inisiatif YEAB Baiduri Power Lunch untuk usahawan muda; menganjurkan lebih 60 siri bengkel di bawah program Go Digital ASEAN; mempengerusikan Majlis Usahawan Muda ASEAN pada 2021 semasa negara menjadi Pengerusi ASEAN dan mengetuai pembentukan Kelab Usahawan Wanita Muda ASEAN,” katanya.
Diharapkan di bawah jawatankuasa eksekutif baharu diketuai Chai Li, YEAB akan bergerak ke tahap yang lebih tinggi, kata Dayang Fatin.
