Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    YEAB adakan mesyuarat agung tahunan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JUN – Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang menghimpunkan ahli-ahli serta calon-calon dengan tujuan untuk mengimbas kembali pencapaian persatuan serta untuk melantik Jawatankuasa Eksekutif barunya dengan mesyuarat agung diadakan pada 20 Jun lalu.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh YEAB, di sini, menyatakan mesyuarat agung itu merupakan detik untuk mengimbas kembali mengenai aktiviti, program dan pencapaian jawatankuasa eksekutif 2023-2025 di mana penggal dua tahun berkenaan kini telah berakhir.

    Mesyuarat tersebut mengetengahkan pencapaian projek dan laporan kewangan di mana ia meraikan perkembangan yang dicapai serta menggalakkan perbincangan dan maklum balas daripada ahli-ahli untuk membentuk hala tuju masa depan YEAB.

    Mesyuarat berkenaan juga menandakan semangat perpaduan dan kerjasama yang kukuh dengan ahli-ahli persatuan melalui pembentangan, perbincangan serta jamuan yang disumbangkan oleh rangkaian berkenaan.

    Salah satu acara kemuncak dalam mesyuarat berkenaan ialah pelantikan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif YEAB bagi penggal 2025-2027 yang akan bermula secara rasmi pada 1 Julai nanti.

    Ahli-ahli yang dilantik ialah Presiden YEAB, Goh Chai Li; Naib Persiden, Aiminorhiza @ Aimi Ramlee; Naib Presiden, Muhammad Amirul Fahmiin bin Abdullah; Setiausaha Undang-Undang, Hajah Dayang Aziimah binti Haji Mohammad Hambali; Setiausaha, Nurul Nadiatul Hidayah binti Haji Safirudin; Bendahari, See Nen San @ See Xiang Ron dan ahli-ahli Jawatankuasa, Lydia Abdul Latif, Derick Leong Kuan Xiang dan Md Imamull Qhaeer bin Md Syamsol.

    YEAB pada masa ini, mempunyai seramai 173 ahli dalam komuniti YEAB dan 26 ahli penuh YEAB serta terus berkembang sebagai sebuah platform bagi usahawan muda Brunei untuk berhubung, menerajui dan berinovasi bersama.

    Sebagai sebuah organisasi berpandangan ke hadapan, YEAB terus komited kepada memperkasa belia menerusi keusahawanan dan membina sebuah masyarakat dinamik yang menyokong pembangunan sosio-ekonomi negara.

    Semua di atas: Antara sesi bergambar ramai semasa mesyuarat berkenaan. – GAMBAR-GAMBAR SERAHAN YEAB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda