Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) baru-baru ini mengadakan Taklimat Pra-Perjalanan dan Makan Malam Rangkaian Perniagaan untuk menyediakan perwakilan Brunei bagi dua acara penting iaitu Sesi Persatuan Usahawan Muda Antarabangsa (IAYEA) dan Mesyuarat Persatuan Usahawan Muda China-ASEAN yang akan berlangsung di Beijing, China, bermula 2 hingga 7 Disember.
Majlis dihadiri oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee selaku Naib Presiden I YEAB dan Naib Presiden II, Dayang Aimi binti Ramlee yang menyertai para perwakilan untuk taklimat dan Majlis Makan Malam berkenaan.
Delegasi yang mewakili YEAB pada persidangan tersebut termasuk Penolong Setiausaha YEAB, Awang Azim bin Yusof; Ahli Jawatankuasa Eksekutif YEAB, Louis dan Awang Hafiz Azhari; Ahli Penuh YEAB dan Pengarah FXJ Energy and Engineering, Ahmad Fauzi; Ahli Penuh YEAB dan Pengasas dan Pengarah Urusan Hafiz Partners Enterprise, Awang Hafiz Azhari.
Taklimat Pra-Perjalanan memberikan gambaran keseluruhan persidangan yang akan datang, menekankan kepentingan dalam memupuk kerjasama rentas sempadan dan mempromosikan ekosistem usahawan Brunei.
Perwakilan juga mengkaji semula peranan mereka dan bersedia untuk melibatkan diri dengan usahawan dari seluruh ASEAN dan seterusnya.
Majlis Makan Malam tersebut turut memberi peluang untuk mengeratkan lagi persahabatan dalam kalangan delegasi dan memastikan keselarasan matlamat mereka untuk acara yang akan datang.
Penyertaan YEAB dalam persidangan itu menekankan komitmennya untuk memupuk usahawan berdaya saing global dan menyokong Wawasan Brunei 2035 melalui perkongsian strategik serantau dan antarabangsa.