Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 SEPT – Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) telah berjaya menganjurkan program sulung YEAB NextGen Changers, kelmarin di Mavens Hive, Kiulap.
Program tersebut diadakan sempena Hari Belia Kebangsaan 2025 dan Pergerakan Next20 yang mana ia adalah sebagai satu usaha meraikan pemerkasaan belia sepanjang bulan belia negara.
Program yang direka khas untuk memberi inspirasi serta memperkasa bakal pemimpin muda Brunei itu telah mengumpulkan 30 peserta muda bersama ahli-ahli YEAB melalui format speed coaching yang interaktif.
Selain memberi peluang kepada setiap peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan para usahawan dari pelbagai industri dan latar belakang perniagaan, serta memperoleh pandangan secara langsung mengenai kepimpinan, inovasi dan cara untuk menavigasi ekosistem keusahawanan di Brunei.
NextGen Changers turut mencerminkan komitmen YEAB dalam membina generasi pemimpin dan usahawan masa depan di Brunei.
Peserta program memberi respons positif dan melihat program yang bermanfaat, meningkatkan keyakinan diri, dan membuka mata dalam memahami peluang-peluang yang wujud dalam ekosistem keusahawanan di negara ini.
YEAB juga berharap akan terus menganjurkan NextGen Changers sebagai platform berterusan di mana para belia Brunei dapat berhubung dengan mentor, bertukar-tukar idea, dan mendapat inspirasi untuk memainkan peranan aktif dalam perjalanan ekonomi dan kepimpinan negara.
YEAB juga akan menghadiri Karnival Usahawan Muda ASEAN di Kuala Lumpur, Malaysia pada Oktober ini.


