Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 4 NOV- Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB) yang diwakili oleh Presiden YEAB, Goh Chai Li dan Setiausaha YEAB, Dayang Nadiatul Safirudin mengambil bahagian dalam Persidangan Pembangunan dan Kerjasama Antarabangsa bagi Usahawan Muda ke-2 yang berlangsung di Anji, Wilayah Zheijiang, Republik Rakyat China, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh YEAB, di sini, forum antarabangsa berkenaan dianjurkan bersama Pusat Pertukaran Antarabangsa China (CIYEC) dan Perikatan Antarabangsa Persatuan Usahawan Muda, yang menghimpunkan lebih 260 delegasi dari seluruh dunia bagi memajukan dialog dan kerjasama dalam kalangan usahawan muda.
Salah satu kemuncak pada majlis pembukaan adalah penerbitan Deklarasi Kerjasama Inovasi Usahawan Muda Antarabangsa (Anji), yang menyeru usahawan muda untuk menyumbang secara aktif kepada pembentukan semula landskap ekonomi global, menegakkan multilateralisme dan menyokong pembangunan ekonomi dunia terbuka.
Pada persidangan berkenaan, mantan Penolong Setiausaha Agung, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Fabrizio Hochschild dalam pembentangannya menggariskan nilai kolaborasi rentas sempadan dalam memacu keamanan dan inovasi.
Sementara itu, wakil dari Tanzania, Joseph Fredrick Mramba merakamkan optimis bahawa Deklarasi Anji akan mengukuhkan kerjasama global dan membuka peluang baharu bagi usahawan muda seluruh dunia.




Penyertaan YEAB mengukuhkan lagi komitmen Brunei kepada memupuk kerjasama global dan penglibatan dengan inisiatif antarabangsa yang memperkasakan keusahawanan mampan serta inovasi diterajui belia.
Menerusi rangkaian ekstensif CIYEC yang meliputi lebih 120 buah negara dan rantau, persidangan itu menyediakan sebuah platform strategik bagi YEAB untuk mendalami hubungan kolaboratif, pertukaran amalan terbaik dan meningkatkan keterlihatan Brunei dalam komuniti keusahawanan global.
Goh Chai Li dipetik menyatakan bahawa persidangan berkenaan menunjukkan pentingnya tindakan kolektif dalam kalangan usahawan muda untuk menangani cabaran global bersama.
Beliau berkata penyertaan YEAB mencerminkan komitmen berterusan YEAB kepada menghubungkan usahawan Brunei dengan rakan kongsi antarabangsa, memupuk kolaborasi berpandukan inovasi serta mempromosikan pertumbuhan ekonomi inklusif.
YEAB menyampaikan penghargaan kepada CIYEC dan Perikatan Antarabangsa Persatuan Usahawan Muda atas usaha berterusan mereka dalam memperkukuhkan inovasi dan kerjasama belia global.

